281 views 2 mins 0 comments

Ulsan sedia insentif galak warga emas serah lesen memandu

In Global
April 30, 2025
Tawar kad hadiah, diskaun pengangkutan kepada warga emas serah lesen memandu untuk kurangkan kemalangan jalan raya

ULSAN – Beratus-ratus pemandu warga emas di daerah Ulju, di sini, secara sukarela  menyerahkan lesen memandu mereka sebulan selepas kerajaan tempatan meningkatkan pemberian insentif secara drastik dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya melibatkan golongan berusia. 

Menurut laporan Korea Joong Ang Daily, lebih 410 warganegara berusia lebih daripada 65 tahun berbuat demikian kerana tertarik dengan tawaran baharu berjumlah 500,000 won (RM1534) berbanding 100,000 won (RM308) sebelum ini. 

Pakej tersebut merangkumi kad hadiah Onnuri bernilai 400,000 won dan kad pengangkutan bernilai 100,000 won yang disediakan melalui kerjasama pihak berkuasa bandar Ulsan.

Menurut seorang pegawai daerah Ulju, pada peringkat awal pihaknya tidak pasti sama ada peningkatan insentif akan membawa kesan ketara kepada sambutan orang ramai terhadap kempen tersebut.

“Namun, hampir semua daripada 450 kad hadiah Onnuri yang diperuntukkan telah dituntut dalam sekelip mata. Kami kini sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah peruntukan seiring dengan sambutan yang ditunjukkan,” katanya.

Untuk rekod, Ulju mempunyai sekitar 24,000 pemegang lesen berusia lebih 65 tahun.

Daripada 78 peratus warga emas yang menyerahkan lesen setakat ini, 319 orang berumur 70 tahun ke atas.

Statistik tersebut menunjukkan bahawa golongan warga emas yang lebih berumur semakin prihatin terhadap isu keselamatan dan kesukaran memandu di usia tua.

Ulju kini merancang membuka satu lagi fasa insentif pada bulan Julai dengan pemandu yang menyerahkan lesen sebelum ini akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu dan layak menerima insentif pada sesi tersebut.

Program sama turut dijalankan di beberapa kawasan lain di Korea Selatan.

Di Seoul, pemandu berumur 70 tahun ke atas menerima kad pengangkutan prabayar bernilai 200,000 won. Manakala, di Daegu pula pemandu berusia 65 tahun ke atas menerima kad prabayar “Daeguro Pay” bernilai 100,000 won. 

Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, Agensi Polis Metropolitan Ulsan turut mengedarkan 10,000 pelekat bertulis “Pemandu Tua Sedang Memandu” kepada pusat-pusat warga emas di bandar itu.

Balqis Qadisah
/ Published posts: 3

Bakal wartawan anda yang akan menyulam kata menjadi berita.