1096 views 2 mins 0 comments

Bekas Penagih Berjalan 483KM Kumpul Dana Badan Amal

In Berita, Global
May 28, 2025
Clare Pretty (kiri) memulakan proses pemulihannya bersama Hebron Housing di Norwich pada tahun 2015. (Foto : Archant Norfolk 2018)

UNITED KINGDOM – Seorang wanita yang pernah bergelut dengan ketagihan alkohol menyertai misi berjalan kaki sejauh 483 kilometer atau 300 batu bagi mengumpul dana untuk badan amal yang pernah membantunya keluar daripada keperitan hidup.

Clare Pretty, yang memulakan proses pemulihannya pada 2015 bersama Hebron Housing iaitu sebuah organisasi kebajikan berpangkalan di Norwich, menyifatkan sokongan yang diterimanya ketika itu sebagai sesuatu yang “mengubah hidup”.

Hebron Housing menyediakan kediaman sokongan bagi wanita yang berdepan pelbagai cabaran hidup termasuk keganasan rumah tangga, ketagihan dan risiko kehilangan tempat tinggal telah beroperasi selama 38 tahun dan menerima permintaan tinggi sehingga kini.

Pretty, yang kini bekerja dengan Hebron Housing, bakal menyertai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Emma Pawsey, dalam cabaran berjalan kaki ‘Hebron-to- Hebron’ dari Norwich ke perkampungan Hebron di Northumberland bermula Jun ini.

“Saya berasal dari London, tetapi berpindah ke Norwich untuk tinggal di rumah ‘move on’ Hebron, demi membina keyakinan diri dan harga diri saya.

“Dahulu saya berada dalam ketagihan bertahun-tahun lamanya dan menafikannya. Saya berada dalam keadaan yang sangat gelap. Hebron telah mengubah hidup saya, dan menjadikan saya seperti yang saya adalah hari ini,” kata Pretty.

Dalam cabaran itu, kedua-dua wanita terbabit tidak akan membawa makanan atau wang tunai, sebaliknya bergantung kepada kemurahan hati orang awam yang ditemui sepanjang perjalanan.

Cabaran serupa pernah dilakukan pada tahun 2018, melibatkan laluan dari Norwich ke perkampungan Hebron di Wales.

“Pengalaman lepas sangat luar biasa. Kami menerima tumpangan menaiki traktor, van penghantaran, dan juga dengan menumpang. Kami bertemu ramai orang yang begitu baik hati,” kata Pretty.

Menurut Pawsey, permintaan terhadap perkhidmatan Hebron Housing amat tinggi, terutama dalam kalangan wanita yang datang daripada latar belakang yang amat mencabar.

“Ramai yang tidak pernah mendapat sokongan sewajarnya sepanjang hidup mereka. Di sini, kami bukan sahaja memberikan kediaman yang selamat, tetapi juga sokongan intensif dan tersendiri.

“Kami bantu mereka mendapatkan latihan dan pekerjaan. Namun, bagi mereka yang berdepan isu kesihatan mental serius sehingga sukar bangun dari katil, kami pastikan mereka keluar berjalan dan meninggalkan rumah sekurang-kurangnya sekali sehari,” tambahnya. – bbc.com

Balqis Zulkifli
/ Published posts: 4

Dunia sentiasa berputar, setiap cerita perlu didengari, dan saya di sini untuk melaporkannya.