
SHAH ALAM: Beberapa kawasan rendah di Seksyen 32 di sini dilanda banjir susulan hujan lebat yang turun kira-kira sejak jam 6 pagi, hari ini.
Air banjir dikatakan naik dengan pantas hanya dalam masa sejam gara-gara kerosakan pam air di kawasan kejadian.
Netizen mendakwa saliran tersumbat dan paip rosak menjadi punca utama air naik mendadak.

“Pam tu dengar-dengar cerita rosak, terus cepat naik. Tu yang cepat sangat naik dari pukul 6 (pagi) sampai 7 tu.”
Beberapa pengguna media sosial yang lain juga menyatakan kekecewaan mereka terhadap sistem perparitan di kawasan pembangunan perumahan yang semakin pesat dibina.
“Tak guna jika bandar maju membangun tapi sistem perparitan lemah,” komen salah seorang pengguna TikTok bernama Obamm.
“Buat la macam mana pun sistem pengairan, kawasan sangat rendah air banjir dan longkang termenung, hujan sikit je banjir… kawasan memang betul-betul rendah itu je,” balas pengguna TikTok yang lain.
Rata-rata netizen menggesa tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengatasi masalah tersebut.
Masalah saliran di sini didapati tidak diselenggara dan sisa pembinaan sering dikaitkan dengan kejadian seperti ini.