179 views 2 mins 0 comments

Makan Rosmari Panjangkan Umur? Ini Rahsia Penduduk ‘Land of Eternal Youth’ Di Itali

In Global
June 25, 2025
Rosmari dipercayai menjadi rahsia awet muda penduduk kampung ‘Land of Eternal Youth’ di selatan Itali.(Foto: Shutterstock/SnapFocuses)

ITALI – Sebuah perkampungan kecil bernama Acciaroli di selatan Itali kini tular selepas sebuah kajian akademik mendedahkan bahawa ramai penduduknya hidup sehingga 100 tahun.

Kajian yang dijalankan selama enam bulan oleh Profesor Alan Maisel dari San Diego School of Medicine bersama pasukan dari Universiti Sapienza Rome mendedahkan bahawa menjadikan rosmari sebagai makanan rutin merupakan salah satu punca utama kepada kesihatan luar biasa penduduk Kampung yang digelar ‘Land of Eternal Youth’ itu.

“Mereka menanamnya sendiri dan mengamalkan pemakanan rosmari sebagai perisa makanan, minyak dan ulam harian. Herba ini penuh dengan sebatian yang bantu mikroperedaran dalam tubuh,” kata Profesor Alan Maisel dari San Diego School of Medicine.

Rosmari yang sering kita gunakan sekadar untuk menambah perasa dalam ayam panggang atau hanya bahan dalam resepi sebahagian masakan, rupa-rupanya menyimpan banyak manfaat kesihatan.

Penduduk kampung tepi laut di selatan Itali ini hidup lebih lama dan kebanyakan warga emas memiliki tahap kesihatan dalaman seperti golongan muda, terutamanya dari segi peredaran darah yang sihat. Rahsianya terletak dalam secekak herba yang tumbuh di dapur rumah mereka itu.

“Biasanya, warga emas menghasilkan lebih banyak hormon adrenomedullin untuk bantu peredaran darah, tetapi di Acciaroli, paras hormon ini sangat rendah dan itu sangat luar biasa,” jelas Profesor Maisel.

Kajian juga mendapati rosmari berpotensi menyokong fungsi otak dan daya ingatan, menjadikannya amalan yang sesuai untuk mengurangkan risiko penyakit seperti Alzheimer dan katarak.

Menariknya, walaupun ramai penduduk di sana dikatakan berlebihan berat badan dan ada yang merokok, mereka tetap kekal aktif seperti sering berkebun, berjalan kaki dan mengamalkan diet Mediterranean yang kaya dengan ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.

Persekitaran yang tenang, jauh dari lebuh raya dan tekanan bandar, turut membantu mengekalkan tahap stres yang rendah dalam kalangan masyarakatnya.

Fenomena Acciaroli bukan kes terpencil. Menurut penyelidik Dan Buettner, terdapat lima lagi kawasan yang digelar ‘Zon Biru’, iaitu kawasan di dunia di mana kadar umur panjang penduduknya jauh lebih tinggi daripada biasa dan semuanya berkait rapat dengan gaya hidup dan diet yang sihat.

https://www.dailymail.co.uk/travel/article-14571083/acciaroli-people-live-100-ingredient.html: Makan Rosmari Panjangkan Umur? Ini Rahsia Penduduk ‘Land of Eternal Youth’ Di Itali

Nurdzalifah Hanim Noradzman
/ Published posts: 3

Pejuang yang bersuara dengan pena.