778 views 46 secs 0 comments

Telan Sudu Ketika Mabuk, Lelaki Hanya Sedar 6 Bulan Kemudian

In Global
July 11, 2025
Dalam keadaan mabuk semasa bercuti, beliau menggunakan sudu kopi untuk memuntahkan isi perutnya (FOTO: Pinterest)

SHANGHAI- Seorang lelaki berusia 29 tahun menyedari dirinya telah menelan sudu sepanjang 15 sentimeter selepas enam bulan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Shanghai, baru-baru ini.

Insiden berkenaan berlaku pada Januari lalu semasa lelaki itu sedang bercuti di Thailand dan berada dalam keadaan mabuk.

Ketika menjalani pemeriksaan kesihatan, sudu seramik tersebut ditemui telah tersekat di bahagian duodenum dalam perut lelaki itu tanpa disedarinya sepanjang tempoh tersebut.

Pemuda itu hanya mula berasa tidak selesa pada bahagian perut ketika pulang ke China dan membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Zhongshan, Shanghai.

“Dia datang kerana rasa tak selesa dan menyangka tertelan plastik daripada makanan bungkus” lapor doktor yang merawat lelaki tersebut.

Selepas penemuan objek tersebut, lelaki itu tersedar dengan kejadiannya menelan sudu semasa percutiannya di Thailand yang disangka mimpi akibat dibawah pengaruh alkohol.

“Dia cuba untuk muntahkan diri menggunakan sudu tetapi sudu tersebut termasuk ke kerongkongnya lalu jatuh ke dalam perut”, menurut laporan.

Sepanjang enam bulan selepas insiden itu, lelaki tersebut kembali ke rutin harian termasuk bersenam seperti biasa tanpa mengalami sebarang kesakitan dan ketidakselesaan.

Pemuda itu dimasukkan ke hospital untuk mengeluarkan sudu tersebut tetapi gagal dalam prosedut pertama kerana permukaan sudu yang licin menyukarkan proses pengeluaran objek tersebut.

Namun, selepas doktor menukar strategi pembedahan, sudu itu berjaya dikeluarkan melalui pembedahan endoskopik dan dibenarkan pulang.

Nadhirah Fattah
/ Published posts: 3

Menulis sebab dunia perlu tahu, bukan menulis hanya bila perlu.