3508 views 8 mins 0 comments

Pempengaruh Rahul Priambudi ‘Jual’ Kampung Sehingga Raih Jutaan Tontonan

In Rencana
July 12, 2025
Keunikan dan cara hidup masyarakat desa di daerah Lingga, Kepulauan Riau yang dijadikan tema kandungan media sosial bukan sahaja mengangkat popularitinya tetapi turut buka peluang ekonomi masyarakat setempat. (Foto: Rahul Priambudi)

MUKADIMAH
Siapa sangka dengan hanya bermodalkan sebuah telefon pintar dan semangat cinta akan kampung halamannya, seorang pencipta kandungan berjaya mencetus sensasi melalui pelbagai video menarik sehingga mendapat jutaan tontonan di media sosial. Apa yang lebih menarik, usahanya itu dilihat turut membuka pintu rezeki bukan sahaja buat dirinya, malah penduduk yang lain apabila kampung mereka mula dikunjungi pelancong luar terutamanya dari Malaysia. Wartawan Syazah Wardina Roslan merungkai rahsia di sebalik kejayaan pempengaruh negara jiran, Rahul Priambudi yang membina nama hanya dengan ‘menjual’ kampungnya di media sosial.

Tangkap layar akaun Tiktok dan Facebook Rahul Priambudi

Tahun 2019 sehingga tahun 2021 merupakan tahun-tahun awalnya di dalam bidang pembuatan kandungan, dan pada ketika ini dia hanya fokus kepada satu platform sosial media, iaitu Instagram.

“Saya pada mulanya hanya ingin memperkenalkan kampung saya sekitar tahun 2019. Pada ketika itu saya dan rakan-rakan hanya memuat naik gambar-gambar, dan belum lagi membuat video.

“Pada tahun 2019, saya mulanya hanya ingin mengenalkan kampung bersama kawan-kawan, kami pergi masuk hutan, pergi ke pantai dan sekitar kampung, untuk mengambil gambar sebelum dimuat naik ke aplikasi Instagram,” katanya memulakan bicara.

Namun, dia akur bahawa video dan gambar yang dihasilkan belum cukup popular kerana hanya diunggah di satu platform media sosial iaitu Instagram. Rahul sedar dia perlu lebih agresif dan mula memuat naik kandungan di Tiktok bagi meningkatkan jumlah tontonan.

Selain itu, dia juga mengambil pendekatan berani menggunakan bahasa Melayu walaupun sedar strateginya itu berisiko memandangkang sebahagian besar pengikutnya adalah warga tempatan. 

“Pada awalnya sambutan video kurang memberangsangkan, tetapi pada tahun 2023 kandungan saya mula melonjak naik, dan ini berlaku ketika saya menggunakan Bahasa Melayu dalam video yang saya hasilkan.

“Kolum komen saya dipenuhi dengan komen-komen orang Malaysia yang bertanya mengapa saya menggunakan bahasa melayu, di mana kebanyakan komen menyambut baik isi kandungan saya.

“Jadi dari situlah saya mula berkongsi berkenaan budaya, berkenaan makan berhidang, tentang Gunung Daik dan sebagainya. Alhamdulillah kandungan saya mendapat lebih sambutan,”  jelasnya yang mempunyai lebih 200 ribu pengikut dan 8.9 juta tontonan di Tiktok. 

SOKONGAN ISTERI

Penghasilan kandungan dan produk tidak akan berlaku secara tiba-tiba. Sudah pasti ada proses dan tangan-tangan yang diperlukan untuk menghasilkan video-video yang dibuat oleh Rahul.

Seperti kata pepatah “Di sebalik setiap kejayaan lelaki, ada wanita hebat di belakangnya”, kejayaan pemuda ini juga banyak didukung isteri tercinta. Menurut Rahul, isterinya merupakan penyokong kuat dan sentiasa memberikan idea dalam menghasilkan kandungan yang menarik. 

“Isteri saya sentiasa memberi sokongan penuh terhadap keterlibatan saya dalam bidang content creator ini. Dia juga akan membantu saya dalam proses pembuatan video saya.

“Dia mempunyai peranan yang sangat besar, isteri saya yang akan menganalisis setiap isi video yang saya akan hasilkan,” ujarnya. 

Rahul dan Isteri ( Sumber: Rahul Priambudi)

NICHE 

Ditanya berkenaan niche atau tema kandungannya, Rahul banyak membuat video berkenaan kehidupan sehari-hari, kebudayaan, tempat menarik di Riau dan juga kupasan berkenaan Sejarah.

“Dari dulu hingga sekarang, kandungan saya berkisar tentang kesederhanaan hidup di kampung serta budaya dan adat resam yang ada di sini seperti budaya Melayu.

“Saya juga ada berkongsi sedikit berkenaan sejarah di Riau dan pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati di Riau,” katanya Pegawai Pelancong di Dinas Pariwisata Indonesia ini. 

Tambahnya lagi, jenis kandungan yang paling mendapat sambutan ramai adalah berkenaan kebudayaan serumpun antara Indonesia dan Malaysia serta aktiviti pelancongan.

“Video saya yang paling banyak mendapat sambutan adalah tentang kebudayaan serumpun seperti Gunung Daik Bercabang Tiga, Budaya Makan Berhidang, berkenaan Pulau Pandan dan Hall Jamak.

“Selain itu, video berkenaan pelancongan seperti “Bagaimana nak Datang ke Riau” juga merupakan antara video yang popular di kalangan pengikut saya di media sosial,” ujar Rahul.

MAKCIK ORKED DAN BULAT

Penerapan bahasa Melayu dalam kandungannya telah membuka peluang dan ruang untuk menjangkau audiens yang lebih luas, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelancong untuk melawat Riau, dan salah satunya adalah rombongan Makcik Orked dari Malaysia.

Rombongan Makcik Orked bersama rakan-rakan ketika melawat Lingga (FB : Rahul Priambudi)

Rahul mula mengenali Makcik Orked sekitar awal tahun 2023, melalui aplikasi Tiktok dan pada ketika itu Rahul selalu membuat kandungan bersama Almarhum rakan karibnya, Zuliska Afra Lingga atau Bulat.

“Pada mulanya,  Makcik Orked menghubungi saya melalui aplikasi Instagram, untuk bertanya berkenaan hotel dan tempat penginapan di Lingga. Pada waktu itu, saya bagi tahu Makcik Orked di Lingga tidak ada hotel.

“Pertanyaan Makcik ini yang menyebabkan saya dan kawan saya membuat video memperkenalkan Moyang Homestay, sebagai salah satu tempat penginapan yang ada di Lingga.

“Ketika Makcik Orked melawat Lingga, dia dapat merasakan suasana kampung seperti di Malaysia, pada awal tahun 70-an hingga 80-an, seolah-olah pulang ke kampung halaman,” tambah Rahul. 

Ketenangan yang dibawa oleh suasana di Lingga ini membuatkan Makcik Orked datang semula untuk kali kedua bersama rakan-rakannya.

“Lawatan kedua Makcik Orked ini disambut baik oleh saya dan almarhum Bulat, tetapi sayangnya selepas seminggu rombongan ini pulang, Bulat kembali ke rahmatullah,” ujarnya lagi. 

Kehilangan Bulat amat mendukacitakan Rahul dan juga Makcik Orked. Ini kerana beliau merupakan seorang sahabat yang ingin bersama-sama mencuba membangunkan Riau dari segi pelancongan.

“Walaupun almarhum sudah tiada, saya dan Makcik Orked sepakat untuk meneruskan matlamat kami. 

“Rombongan pelancong yang dibawa oleh Makcik Orked terus bertambah dari belasan sehingga puluhan orang setiap kali lawatan.

“Alhamdulillah, berkat bantuan Makcik Orked, sekarang Lingga semakin ramai dikunjungi pelancong dari Malaysia,” katanya yang turut menyediakan khidmat pemandu pelancong pada setiap hujung minggu. 

Ketika ditanya berkenaan pandangannya terhadap sesetengah content creator yang menghasilkan video yang tidak mendidik dan tidak bermanfaat, Rahul menyuarakan bahawa perkara ini adalah tidak wajar.

“Ramai content creator masa kini hanya mengejar nama tanpa menekankan etika. Mereka tidak kisah jika kandungan yang dibuat itu tidak memberi manfaat dan hanya merugikan maruah diri.

“Bagi saya secara peribadi, saya tidak akan menggunakan pendekatan sebegitu di dalam pembuatan video saya. Mengejar populariti itu mudah tetapi membuat kandungan yang bermanfaat itu adalah lebih perlu.

“Jika kita membuat kandungan yang bermanfaat dan memberi pengajaran kepada orang lain, kita akan mengumpul pengikut-pengikut yang setia dan akan menarik golongan orang yang lebih berkualiti dan berpelajaran,” katanya. 

Rahul juga mengingatkan mereka yang ingin menghasilkan kandungan di media sosial supaya menonjolkan akhlak yang baik sebagai pempengaruh sosial media.

“Satu nasihat dari saya ialah jangan malu, tapi jangan pula buat malu. Jika kita malu, sudah pasti lebih susah untuk berkembang, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.

“Semua orang boleh menjadi pempengaruh, tetapi biarlah kita dikenang kerana menyebar manfaat, bukan kerana sensasi akibat mengaibkan orang lain. Populariti yang dicapai tanpa integriti dan nilai maruah sebagai manusia pastinya tidak akan kekal dan hanya bersifat sementara, fikir-fikirkanlah,” katanya mengakhiri perbualan.

Syazah Wardina Roslan
/ Published posts: 0

"Di balik setiap berita, ada kaki yang lelah, pena yang tajam dan hati yang peduli"