481 views 2 mins 0 comments

Penduduk Lega Kerja Mitigasi Banjir Berjalan Lancar

In Berita, Komuniti
November 06, 2025
Pelaksanaan kerja-kerja mitigasi banjir dijangka dapat mencegah risiko kejadian banjir kilat yang sering berlaku di sekitar Shah Alam sejak sekian lama. (Foto: Facebook MBSA)

SHAH ALAM – Penduduk di beberapa kawasan sekitar Shah Alam lega selepas beberapa kerja mitigasi banjir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjalan lancar seperti yang dijadualkan, sekaligus memberi harapan kepada usaha mengatasi kejadian banjir yang kerap berlaku sebelum ini.

Menurut seorang penduduk di Jalan Kebun, Iwan Azzam Shahriyal, 30, inisiatif ini merupakan langkah tepat selepas beberapa kali mengalami kerugian akibat banjir.

“Sedih betul perasaan ini bila rumah masuk air, habis rosak almari baju, sofa pula dah jadi kembang, baru guna setahun pula tu, kecewa hati ini.

“Mujur ada usaha dari MBSA ni yang sedikit sebanyak mungkin dapat bantu kurangkan risiko banjir,” katanya.

Seorang penduduk di Bukit Kemuning, Noraini Ahmad, 42, berkata usaha MBSA menjalankan kerja mitigasi itu diharap dapat mengelakkan insiden sama berulang pada musim hujan akan datang.

“Kalau betul, pembinaan kolam ini sangat membantu, alhamdulillah sangat sebab saya tinggal sini dari tahun 1993, dulu tak seteruk macam sekarang,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan Kemuning Greenhill, Mohd Azhar Nordin, 38, pula berkata kerja-kerja pembersihan longkang dan kolam takungan perlu dibuat secara berkala bagi memastikan saliran tidak tersumbat.

“Kalau hujan lebat, air cepat naik sebab longkang banyak tersumbat, harap kali ini kerja pembersihan dibuat betul-betul,” katanya.

Dalam mesyuarat penuh MBSA pada 30 Oktober lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim mengumumkan beberapa projek kerja-kerja mitigasi banjir telah siap dilaksanakan di Jalan Sempuran 25/81, Jalan Sampotan 3/11, Kemuning Greenhill Seksyen 32 dan Jalan Teluk Batu di AMJ Industrial Park.

Manakala, projek di Taman Bukit Kemuning dan Taman Greenhill 3 di Bukit Rimau pula masih di peringkat perancangan dan dijangka dimulakan pada pertengahan November.

Tembok penghadang banjir turut dibina di Jalan Haji Bakri, Taman Bunga Raya Seksyen 30, serta berhampiran saliran monsun dan kawasan kediaman di Taman Alam Indah Seksyen 33.

Jelas Mohd Fauzi, MBSA turut mengarahkan kontraktor untuk membersihkan longkang dan kolam takungan secara menyeluruh bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik terutama menjelang musim hujan.

Arina Zulkifli
/ Published posts: 2

Setiap laporan membawa makna, bukan sekadar tajuk