531 views 2 mins 0 comments

Pasangan Kembar Teruja Kongsi Pentas Konvokesyen

In Kampus
November 25, 2025
Pasangan kembar, Nur Busyera (kanan) dan Nur Batrisya (kiri) teruja apabila dapat menamatkan pengajian Diploma Analisis Pelaburan di UiTM.

SHAH ALAM – Pasangan kembar, Nur Busyera Mohd Tarmizi dan adiknya, Nur Batrisya Mohd Tarmizi, 21, teruja apabila dapat berkongsi pentas konvokesyen selepas menamatkan pengajian Diploma Analisis Pelaburan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Johor kampus Segamat.

Kejayaan tersebut lebih bermakna apabila Batrisya menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang sepanjang pengajian dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.64, manakala Busyera mendapat 3.63.

Menurut Busyera, keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang pelaburan dibuat atas dorongan ibu bapa mereka selepas menilai peluang yang masih luas ketika pandemik Covid-19.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda, semua aktiviti dalam sektor perniagaan terhenti kecuali sektor pelaburan.

“Jadi ibu bapa suruh kami sambung belajar dalam bidang itu sebab peluang untuk kami berjaya lebih tinggi dan kami setuju sahaja dengan keputusan mereka,” katanya.

Walaupun dilahirkan kembar, kedua-duanya melalui kehidupan kampus dengan identiti berbeza sejak hari pertama, menyebabkan pensyarah kerap keliru apabila terserempak dengan mereka di lokasi berbeza.

“Kadang-kadang pensyarah jumpa saya di suatu tempat, lepas jalan beberapa meter jumpa pula Batrisya, terus mereka keliru dan dari situ situasi ini jadi bahan gelak setiap kali waktu rehat,” ujarnya ketika mengimbas momen lucu bergelar pelajar.

Sepanjang pengajian, pasangan kembar itu turut berkongsi cabaran yang sama, terutamanya rasa rindu ingin pulang ke rumah kerana pertama kali berjauhan daripada keluarga.

Namun, situasi ini dapat diatasi dengan sokongan antara satu sama lain yang mana dapat membantu mereka untuk menyesuaikan diri.

“Gaya belajar kami sama, kami akan mengulang kaji pelajaran seminggu lebih awal dan lagi dua hari sebelum peperiksaan kami sudah tenang, kalau Busyera tak faham saya ajar, begitu juga sebaliknya,” jelas Batrisya.

Tambahnya, salah satu faktor penting mendorong mereka mengekalkan prestasi cemerlang adalah dorongan daripada ibu bapa mereka.

“Setiap kali FaceTime dengan mama, dia akan pesan belajar pandai-pandai dan dapatkan selempang pink (ANC),” katanya.

Kedua-dua graduan kini melanjutkan pengajian dalam bidang sama di UiTM Merbok, dan berharap pencapaian tersebut akan menjadi inspirasi kepada adik-beradik lain untuk mencipta kejayaan pada masa depan.

Arina Zulkifli
/ Published posts: 2

Setiap laporan membawa makna, bukan sekadar tajuk