SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperluas jaringan global menerusi penganjuran program pengantarabangsaan bersama universiti di Indonesia.
Program di bawah inisiatif UiTM Community Outreach, Mobility & Intercultural Ties (UiTM COMMIT) itu dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Applied Science Youth Care Crew (ASYCC), Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam, Persatuan Briged Sukarelawan UiTM dan Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UINSA) berlangsung di kampus Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel, Surabaya, dari 7 hingga 9 Januari lalu.
Objektif program adalah mengukuhkan hubungan dua hala, memupuk kefahaman silang budaya serta menggalakkan penglibatan komuniti yang bermakna di peringkat global.
Ketua program, Nisa Masturina Sauffiee, 23, berkata objektif program berjaya dicapai apabila para pelajar berpeluang berinteraksi dengan komuniti tempatan, menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta memupuk kemahiran kepimpinan dan kerjasama berpasukan.
“Melalui program ini, pelajar didorong memahami tanggungjawab mereka dalam konteks masyarakat antarabangsa di samping menghargai kepelbagaian budaya dan perspektif yang berbeza.
“Selain pendedahan akademik, pelajar turut diberi ruang memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, empati dan kepekaan sosial melalui pelbagai aktiviti praktikal serta khidmat komuniti,” ujarnya.

Sepanjang tiga hari penganjuran program, peserta mendapat pendedahan antarabangsa melalui pengalaman pembelajaran secara langsung, khidmat komuniti dan kolaborasi strategik bersama institusi rakan kongsi serta komuniti setempat di Surabaya.
Tambah Nisa, pengalaman sebegini bukan sahaja meningkatkan kompetensi akademik pelajar, malah membentuk mereka menjadi warganegara global yang bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa program ini memberi makna yang lebih mendalam daripada sekadar jalinan rasmi antara dua institusi.
“Program ini bukan sahaja tentang pemeteraian MoU antara UiTM dan UINSA, tetapi lebih kepada persahabatan yang terjalin antara kami sebagai pelajar.
“Kami bukan sekadar bertukar pendapat, malah berjaya menjalinkan hubungan silaturahim yang erat sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Nisa berkata, mereka juga berpeluang meneroka beberapa lokasi ikonik di Surabaya bersama mahasiswa UINSA yang menjadikan pengalaman program lebih bermakna.
“Kami sempat melawat Masjid Al-Akbar, berkunjung ke Wisata Desa BMJ Mojopahit iaitu sebuah kilang pembuatan coklat di Mojokerto, serta menikmati keindahan bandar Surabaya dengan berjalan di Jalan Tunjungan dan merasai makanan tempatan di sana.
“Semua ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan,” ujarnya lagi.
