102 views 2 mins 0 comments

Berjaya Genggam Ijazah Walau Diuji Penyakit Tulang Rapuh

In Berita, Kampus
May 22, 2026
Rusyamimie, graduan OKU tersenyum selepas menamatkan pengajian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke - 104. - SAT

SHAH ALAM – Kekurangan fizikal bukan penghalang bagi seorang gadis menghidap Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh untuk menggengam segulung ijazah sarjana muda di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104, semalam.

Menghidap penyakit tersebut sejak lahir, Rusyamimie Badrol Sham, 24, enggan menjadikan faktor fizikal sebagai alasan untuk ketinggalan, sebaliknya membuktikan dia mampu berdiri sama tinggi dengan graduan lain.

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Sistem Pengurusan Pejabat, kejayaannya dalam  menggenggam ijazah merupakan satu pencapaian yang tidak tersangka. 

“Sewaktu naik pentas untuk mendapatkan skrol, saya berasa sangat gemuruh dan tidak sangka dapat meneruskan pembelajaran sejauh ini”, katanya kepada Shah Alam Times.

Menceritakan kembali pengalaman sepanjang pengajian, gadis kelahiran Pahang ini mengakui semester kelima merupakan fasa paling mencabar dalam hidupnya sebagai pelajar.

“Semester paling mencabar ialah semester lima, saya perlu menyiapkan kertas penyelidikan selain berdepan jadual peperiksaan yang sangat padat sehingga ada ketika tiga kertas peperiksaan jatuh pada hari yang sama,” jelasnya.

Di sebalik kejayaan itu, keluarga Rusyamimie sememangnya menyokong tindakan dia menyambung pelajaran sehingga peringkat yang lebih tinggi. 

Rusyamimie menerima skrol Ijazah Sarjana Muda daripada Pro-Canselor UiTM pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104. – YouTube UiTM Channel

Rusyamimie juga menyifatkan peranan besar rakan sebilik dan teman kuliah menjadi tulang belakang sepanjang berada di kampus.

“Alhamdulillah, keluarga saya menyokong pelajaran saya tanpa membantah sedikit pun serta rakan sebilik dan rakan kuliah ialah individu yang banyak menolong saya terutama untuk bergerak ke kelas.

“Mereka sangat menyokong dan saya tidak merasa ada kekangan sepanjang bersama mereka,” tambahnya lagi.

Rusyamimie menegaskan persepsi masyarakat terhadap golongan OKU yang sering dianggap hanya perlu ‘duduk di rumah’ perlu diubah dan berharap masyarakat lebih membuka mata dan minda terhadap peluang pembelajaran dalam komuniti OKU.

“Masyarakat patut berhenti mendiskriminasi kami, OKU ini ada banyak kategori dan ramai sebenarnya yang bijak pandai. Jangan hanya kerana fizikal kami berbeza, kebolehan kami dipandang rendah,” tegasnya.

Rusyamimie kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Sains Pengurusan Perniagaan di kampus yang sama.

“Impian saya adalah untuk belajar sehingga ke peringkat PhD. Kepada rakan-rakan OKU yang lain, pesanan saya cuma satu iaitu jangan berputus asa, percayalah pada diri sendiri dan cari kegembiraan dalam menuntut ilmu,” pesannya.

Fatin Sharifuddin
/ Published posts: 2

Collecting stories. Delivering reality.