SHAH ALAM – Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) dibawah Kementerian Ekonomi dilihat berjaya menambah pendapatan golongan berpendapatan rendah (B40) sejak diperkenalkan.
Menurut Penyelia IPR Koperasi Kebuniti (Kobuniti), Halimatom Rahim, inisiatif yang dilaksanakan di Kobuniti Agropark Seksyen U12 Shah Alam itu memberi tumpuan kepada sektor pertanian khususnya penanaman sayur-sayuran.
“Pada peringkat awal pelaksanaan, pihak Kobuniti menyediakan pelbagai bentuk latihan kepada peserta termasuklah cara menghasilkan baja organik serta mengenal pasti jenis serangga dan haiwan perosak.
“Dengan setiap latihan yang diberikan, peserta IPR-INTAN kini mampu menjual hasil tanaman terus kepada pembeli tetap. Ia secara tidak langsung dapat membantu mereka memperoleh keuntungan secara berterusan,” jelasnya ketika ditemu bual oleh Shah Alam Times.

Peserta IPR-INTAN, Robeah Tasrib, 50, yang juga merupakan seorang peniaga berkata inisiatif tersebut membuka peluang kepadanya untuk menghasilkan pendapatan sampingan sehingga berjaya membuka sebuah kafe hasil jualan tanaman yang diusahakan.
“Saya menyertai program ini kerana minat yang mendalam terhadap bidang pertanian. Pada peringkat awal, kami diberikan latihan dan kursus khas termasuk bimbingan daripada tenaga pengajar luar negara.
“Program ini bukan sahaja menekankan aspek teori, malah turut memberi pendedahan secara praktikal. Antaranya termasuklah mereka mengajar peserta cara-cara untuk membuat baja organik yang dibuat daripada bahan terbuang dan mengenal pasti cara untuk menyuburkan tanaman,” ujarnya.
Robeah menambah bahawa hasil tanaman terung semasa program ini berjaya membuka peluang kepadanya untuk membuka sebuah kafe yang terletak berhampiran kawasan kebun.
Manakala bagi Abu Amar, 58, yang juga peserta IPR-INTAN berkata mereka juga turut dibekalkan dengan pelbagai bantuan dari segi peralatan pertanian termasuklah jentera.
“Memang tak dinafikan, kami terima pelbagai bantuan dari segi alatan pertanian. Kalau ada peserta yang tidak mahir, tenaga pengajar akan dipanggil untuk mengajar kami cara untuk menggunakan peralatan dengan betul.
“Memang seronok sebab banyak kursus dan latihan yang disediakan,” katanya.
Tambahnya lagi, program ini bukan sahaja berhasil dalam menjana pendapatan sampingan, malah ianya merupakan satu sumber terapi yang menenangkan baginya.

