SHAH ALAM – Jenama Chillin & Grillin kini melangkah ke fasa yang lebih stabil walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh operasi perniagaannya selama tiga tahun.
Terkenal dengan menu Birria Tacos, menurut pengasasnya, Meor Fauzan Zolkifli, mereka bermula dengan perniagaan yang bernama Dippers, yang berkonsepkan idea hidangan “dip” dengan pelbagai sos, selain inspirasi birria tacos yang ketika itu masih baru di Malaysia.
Katanya, Dippers menjadi titik permulaan kepada perjalanannya dalam industri makanan apabila perniagaan tesebut tular dalam tempoh singkat dan meraih jualan yang memberangsangkan setiap hari.
“Dari situ, saya mula nampak potensi sebenar dalam perniagaan makanan,” katanya kepada Shah Alam Times.
Selepas kejayaan itu, jenama ini mula berkembang dan melalui beberapa fasa perubahan sebelum akhirnya muncul dengan nama baru iaitu Chillin & Grillin.
Namun, perjalanan membina nama tersebut tidak mudah apabila perniagaannya terpaksa berpindah lokasi sebanyak tujuh kali sebelum menemui tapak operasi yang kekal sehingga hari ini.
“Kami pernah berniaga tepi jalan, sertai pelbagai program dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat.
“Setiap kali rasa sudah jumpa lokasi yang sesuai, pasti ada cabaran baharu yang perlu dihadapi,” jelasnya.
Selepas melalui pelbagai cabaran, Meor Fauzan kini mengambil langkah berani dengan beroperasi di sebuah restoran tetap yang kini menjadi rumah kepada Chillin & Grillin.
Ujarnya, keputusan itu dibuat menggunakan sebahagian besar simpanan yang dimilikinya dengan harapan dapat mengukuhkan identiti yang lebih kukuh kepada jenama tersbut.
“Bila sudah ada tempat sendiri, pelanggan lebih mudah kenal jenama kita dan kami juga dapat fokus kepada kualiti makanan serta pengalaman pelanggan,” ujarnya.
Kini, restoran tersebut mempunyai kira-kira 10 orang pekerja yang mengendalikan operasi dapur dan bahagian hadapan kedai bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Salah satu pengalaman yang paling membanggakan buat Meor Fauzan ialah apabila pelanggan dari Mexico memuji rasa birria tacos yang disajikan di restorannya.
Melangkah ke hadapan, Meor Fauzan berharap dapat membuka cawangan baru di Kuala Lumpur bagi memperkenalkan Chillin & Grillin kepada lebih ramai pelanggan termasuk pelancong.
