106 views 2 mins 0 comments

Advokasi Pendidikan Melalui Program Bersama Komuniti Orang Asli

In Berita, Komuniti
July 21, 2026
Peserta Rehlah An-Nisa’ 2.0 bergambar bersama kanak-kanak dan penduduk Kampung Ulu Melaka, Serendah selepas program khidmat masyarakat di Surau Al-Ikhlas

SERENDAH – Dalam usaha mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan perkongsian ilmu, mahasiswa UiTM Shah Alam telah menganjurkan program bersama komuniti Orang Asli di Surau Al-Ikhlas, Kampung Ulu Melaka, di sini, baru-baru ini.

Program Rehlah An-Nisa 2.0 anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Kediaman Melati, UiTM Shah Alam bertujuan untuk menyantuni golongan itu selain mengadakan sesi advokasi kesedaran pendidikan tinggi.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Serendah dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) itu turut menghimpunkan barisan jawatankuasa dan sukarelawan. 

Pengarah Program, Nur Husna Che Mohd Zamzuri, berkata program ini bukan sahaja bertujuan melaksanakan tanggungjawab sosial mahasiswa, malah menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran bahawa pendidikan merupakan hak wajib semua lapisan masyarakat.

“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai komuniti Orang Asli mendapat pendedahan mengenai peluang pendidikan tinggi, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk mengubah kehidupan melalui ilmu.

“Ia membuktikan komitmen JPK Kolej Kediaman Melati dalam melaksanakan inisiatif berimpak tinggi yang menghubungkan institusi pendidikan dengan masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan, advokasi pendidikan dan kerjasama strategik bersama agensi luar,” katanya kepada Shah Alam Times.

Selain daripada itu, program turut diisi dengan slot ceramah yang disampaikan oleh wakil pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Amirahudin Jamaludin mengenai hak masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan akses kepada pendidikan tinggi.

Dalam sesi tersebut, Amirahudin turut memperkenalkan tentang UiTM serta berkongsi maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian, laluan kemasukan dan bantuan pendidikan yang disediakan kepada pelajar yang berkelayakan.

Amirahudin Jamaludin menyampaikan taklimat mengenai peluang melanjutkan pengajian di UiTM kepada komuniti Orang Asli

Beliau yang juga penasihat program ini menegaskan bahawa setiap individu berhak memperoleh pendidikan tanpa mengira latar belakang, di samping menggalakkan ibu bapa serta golongan muda dalam komuniti tersebut untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai asas dalam meningkatkan taraf hidup dan masa depan keluarga.

Antara pengisian utama program ialah aktiviti gotong-royong membersihkan dan menceriakan Surau Al-Ikhlas bersama penduduk kampung yang berjaya mewujudkan persekitaran rumah ibadah yang lebih bersih dan selesa, selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan komuniti Orang Asli.

Kamelia Kamarudin
/ Published posts: 1

Built from struggles, powered by strength