415 views 2 mins 0 comments

Lebih 700,000 Pengunjung Hadir, Havoc 2024 Catat Rekod Baharu

In Berita, Komuniti
January 06, 2025
Amirudin menyaksikan demonstrasi masakan oleh salah seorang peniaga yang mengambil bahagian pada festival Havoc pada Jumaat.

SHAH ALAM – Festival Makanan, Havoc 2024 merekodkan kehadiran terbesar pengunjung sepanjang penganjuran acara tersebut pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd., Faizul Mohd Yusof, berkata pihaknya merekodkan 700,000 kehadiran pengunjung pada acara penutup yang diadakan di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam di sini. 

Menurutnya, kehadiran ramai pempengaruh media sosial dan sebuah vendor makanan viral ala timur tengah menjadi antara faktor menyumbang kepada peningkatan tersebut.

“Sepanjang enam tahun Havoc berlangsung, ini adalah kali pertama acara diadakan selama enam hari, menjadikannya sesuatu yang benar-benar istimewa. Kali ini, kami bawakan lebih ramai artis dan pempengaruh, dengan kehadiran seramai 40 orang. 

“Kami juga menampilkan lebih banyak vendor viral yang pastinya menarik perhatian ramai,”katanya.

Festival yang memasuki edisi ke-43 itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Najwan halimi.

Selain gerai jualan dan persembahan artis, acara itu turut dimeriahkan dengan program bercorak kerohanian dan ilmiah seperti Havoc Berselawat dan Qasidah yang menampilkan kumpulan Nur Ahli Badar.

Pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti sebuah kereta Perodua Myvi, motosikal Yamaha Y15 dan telefon pintar Iphone.

Jelas Faizul lagi, pihaknya berhasrat menjadikan festival tersebut sebagai platform pemasaran produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutamanya sektor makanan dan minuman di negara ini.

“Kebanyakan usahawan yang mengambil bahagian berasal daripada golongan kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Dengan menyertai festival ini, kami memberi mereka peluang untuk membina jenama yang kukuh di pasaran, sambil menyediakan platform pembelajaran untuk memahami dan mengurus perniagaan dengan lebih profesional dan berkesan,” tambahnya.

Adlina Huda
/ Published posts: 3

Nukilan Yang Ditulis Memberi Inspirasi Dan Memperkasakan Pembaca Dengan Menyampaikan Naratif Yang Tepat Dan Menarik