
Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Perkara tersebut disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin, menerusi hantaran di laman Instagram yang mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5, telah kembali ke rahmatullah pada jam 7:10pm di Institut Jantung Negara, KL. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan memberitahu, Allahyarham yang turut dikenali sebagai ‘Pak Lah’ telah diletakkan di bawah pantuan mereka sejak semalam selepas mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Allahyarham segera ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) dibawah pantauan rapi sepasukan pakar jantung,” kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu lagi, Allahyarham bagaimanapun menghembuskan nafas yang terakhir bersama ahli keluarga dengan tenang walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
“IJN amat berdukacita mengumumkan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, yang meninggal dunia pada pukul 7.10 malam tadi di IJN, Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu lagi.