
SHAH ALAM – Tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap kepentingan lintasan belang atau ‘zebra crossing’ di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, di sini, masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Ramai pemandu kereta dan penunggang motorsikal didapati tidak memperlahankan kenderaan atau berhenti sepenuhnya ketika ada pelajar yang ingin melintas.
Menurut Ketua Polis Bantuan UiTM Shah Alam, Superintenden Zakaria Ishak, isu tersebut berpunca daripada kurang kesedaran dan bukannya kelemahan penguatkuasaan.
“Isu ini bermula daripada sikap. Jika seluruh warga kampus lebih peka dan menghormati hak pejalan kaki di lintasan belang, pasti keselamatan dapat dijaga dengan lebih baik.
“Pihak polis bantuan sentiasa menempatkan anggota bertugas di kawasan ‘hotspot’ semasa waktu puncak bagi memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan risiko insiden,” katanya.
Laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan ramai pemandu masih enggan berhenti dan memandu laju di kawasan institusi pendidikan.
Kelajuan tinggi dan keengganan memberi laluan dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan di lintasan belang.
Tambah Zakaria, setakat ini tiada kes kemalangan serius dilaporkan di lintasan belang dalam kampus.
Bagaimanapun, katanya, langkah pencegahan tetap menjadi keutamaan sebelum berlaku perkara tidak diingini.
“Kegagalan mematuhi peraturan berhenti di lintasan belang akan menyebabkan pemandu berdepan tindakan tegas mengikut peraturan kampus, sama seperti kesalahan lalu lintas yang lain,” ujarnya.

Pemandu turut diwajibkan memperlahankan kenderaan dan berhenti sepenuhnya apabila ada pejalan kaki yang ingin melintas walaupun tiada lampu isyarat dipasang.
Bagi mempertingkat penguatkuasaan, pihaknya melihat adanya keperluan menaik taraf infrastruktur seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan papan interaktif di lintasan belang pada masa akan datang.
Langkah itu dijangka mampu mendidik pemandu agar lebih peka terhadap keselamatan pejalan kaki di kawasan kampus.