849 views 3 mins 0 comments

Mahasiswa UiTM Santuni Penghuni Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah

In Berita, Kampus, Komuniti
June 16, 2025
Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyantuni 29 orang anak-anak Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang menerusi program S4S Project Sunshine: Seeds of Hope.

SHAH ALAM — Semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa perlu terus dipupuk sebagai asas kepada pembentukan warganegara prihatin, bertanggungjawab serta saling membantu tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang. 

Menyedari kepentingan ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan program khidmat masyarakat yang diberi nama S4S Project Sunshine: Seeds of Hope bertempat di Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang, pada 14 Jun lalu.

Seramai 36 orang mahasiswa terlibat menjayakan program tersebut dengan matlamat utama bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dan nilai empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik. 

Pengurus Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Ahmad Soffi Kadri, menyifatkan inisiatif ini sebagai satu bentuk sokongan emosi dan sosial yang amat bermakna buat kanak-kanak di bawah jagaan beliau, yang jarang berpeluang menikmati aktiviti interaktif bersama masyarakat luar.

“Kami berpuas hati dengan tahap kerjasama dan pengurusan dari pihak penganjur. Kehadiran mereka membawa suasana ceria dan memberi semangat baru kepada anak-anak jagaan kami di sini,” katanya.

Antara aktiviti utama yang dijalankan adalah eksplorasi pendidikan melibatkan enam checkpoint dengan pelbagai tugasan perlu diselesaikan melibatkan subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Pengetahuan Am. 

Dari sudut impak, program ini menyasarkan beberapa objektif khusus seperti membantu para peserta membina keyakinan diri, mengukuhkan kemahiran sosial dan komunikasi, serta menerapkan nilai kepimpinan dan kerja berpasukan. 

Ketua Program, Nisrina Natasha Irwan, menyatakan bahawa penglibatan dalam program ini telah membuka ruang kepada para mahasiswa untuk menyelami nilai-nilai murni seperti kesyukuran dan empati, di samping memberi kesedaran tentang tanggungjawab sosial dalam memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

“Kami sedar bahawa tidak semua insan diberi keistimewaan seperti akses pendidikan, tempat tinggal yang selesa dan sokongan sosial. Justeru itu, amat penting bagi kami untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk kemampuan dan kepakaran yang ada melalui program kesukarelawanan seperti ini,” tegasnya.

Program ini turut mendapat maklum balas yang cukup positif daripada penghuni di sana sendiri. 

Muhammad Anas Jaszly Zakwan, 14, menyatakan kegembiraannya kerana dapat belajar dan bergaul bersama rakan-rakan melalui aktiviti yang disertai. 

“Saya rasa sangat seronok masa main telefon rosak dengan kawan-kawan. Saya suka checkpoint keenam sebab boleh selesaikan masalah matematik bersama kawan-kawan yang lain,” ujarnya.

Seorang lagi penghuni, Nur Madihah, 16, turut merakamkan ucapan penghargaan kepada mahasiswa UiTM atas komitmen dan keprihatinan mereka dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberi impak positif serta meninggalkan makna yang mendalam kepada para penghuni.

“Terima kasih kerana mengisi masa lapang kami dengan aktiviti yang menyeronokkan, menarik dan memberi impak. Terima kasih atas makanan, hadiah dan masa yang diberikan,” katanya.

Penganjur berharap agar program ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan dan dapat dijadikan program tahunan oleh mana-mana kelab sukarelawan di UiTM Shah Alam.

Syafi Fauzan
/ Published posts: 7

Berita itu nyawa, fakta itu senjata. Tugasku untuk memastikan masyarakat tidak buta.