
TOKYO — Individu yang sihat akan menerima bayaran sebanyak RM150 sehari dengan mendermakan sampel najis berkualiti tinggi sebagai sebahagian daripada kajian kesihatan oleh Synergy Research Group di Jepun.
Inisiatif ini diperkenalkan oleh Synergy Research Group, sebuah organisasi penyelidikan yang kini sedang mengumpul sampel tinja daripada individu yang sihat sebagai sebahagian daripada kajian berkaitan mikrobiota usus.
Calon penderma perlu melalui beberapa tapisan awal termasuk soal selidik kesihatan, ujian darah serta pemeriksaan terhadap sampel najis mereka.
Najis yang diterima akan digunakan untuk kajian pemindahan mikrobiota fecal (FMT), sejenis rawatan inovatif yang kini diterokai bagi membantu menangani pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan usus berulang, keradangan usus, dan gangguan mental seperti kemurungan.
Penderma yang layak akan dijemput ke fasiliti khas di Tokyo lengkap dengan ruang rehat bagi memastikan keselesaan sepanjang proses derma.
“Jika najis anda memenuhi kualiti yang diperlukan, anda boleh dibayar RM150 untuk setiap kali derma,” kata pihak Synergy.
“Ini memang wujud, dan bukan satu jenaka,” tambah mereka lagi.
Kajian mikrobiota telah menarik perhatian komuniti perubatan kerana pengaruh besar bakteria usus terhadap kesihatan tubuh badan secara menyeluruh, termasuk sistem imun dan kesejahteraan mental.
Hanya 5 hingga 10 peratus individu sahaja mempunya najis yang cukup berkualiti tinggi untuk kajian ini.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu memperkaya bidang penyelidikan perubatan, tetapi turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada sains secara literal.