
Drama tempatan Dia Bukan Syurga yang kini tular di media sosial mencetuskan perbincangan serius berkaitan kesihatan mental dan penderaan emosi dalam rumah tangga.
Drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya itu mengangkat kisah pasangan suami isteri, Tajul dan Nuha, di mana si suami digambarkan menghidap gangguan personaliti sempadan (BPD) dan kerap menunjukkan tingkah laku agresif.
Paparan realistik itu membuka mata penonton tentang bagaimana gangguan mental yang tidak dirawat boleh memberi kesan negatif kepada pasangan dan keluarga.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, lebih dua juta rakyat Malaysia mengalami kemurungan dan keresahan, dengan peningkatan juga dikesan dalam kalangan remaja.
Antara puncanya termasuk tekanan akademik, media sosial, serta komitmen kewangan dan keluarga dalam kalangan orang dewasa.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria, berkata hampir separuh pesakit tidak meneruskan rawatan kerana malu atau takut dilabel oleh masyarakat.
“Ramai memilih untuk berdiam diri dan memendam rasa, kerana takut dijauhi atau tidak difahami. Sedangkan, gangguan mental boleh dirawat seperti mana penyakit fizikal yang lain.
“Kekurangan dalam bilangan pakar psikiatri di negara ini juga menjadi satu cabaran, terutama di kawasan luar bandar.” katanya
Antara inisiatif kerajaan termasuk Pusat MENTARI dan Talian Kasih 15999. Aplikasi seperti Naluri dan ThoughtFull turut menyediakan kaunseling dalam talian bagi mereka yang memerlukan sokongan segera.
Aplikasi ini memudahkan akses kepada bantuan, terutama bagi mereka yang sukar keluar rumah atau tinggal jauh dari pusat rawatan.
Kesihatan mental adalah isu yang semakin kritikal dalam masyarakat moden.
Lebih malang jika pesakit mental tidak dirawat ini mencederakan atau lebih buruk membunuh orang lain seperti yang berlaku di luar negara, malah di dalam negara kita sendiri.
Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, media, institusi pendidikan dan keluarga amat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih peka dan prihatin terhadap isu ini.
Apa yang ditayangkan di kaca televisyen bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan realiti yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama.