SHAH ALAM – Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menerima insentif selepas berjaya menjadi juara keseluruhan pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi 2024 (SUKIPT 2024).
UiTM mencatatkan pencapaian cemerlang pada kejohanan tersebut apabila berjaya mengumpul 97 pingat, termasuk 38 pingat emas, 20 pingat perak, dan 39 pingat gangsa.
Majlis pemberian insentif tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi.
Dalam ucapannya, Dr Mohd Shazili menekankan pentingnya menghargai usaha dan kesungguhan atlet yang mewakili universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pihak universiti sentiasa menjaga kebajikan para atlet yang memenangi sebarang kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“UiTM telah membuat ketetapan memberikan insentif di bawah Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan iaitu pemberian wang tunai mengikut pingat yang dimenangi,” katanya.
Secara keseluruhan, sebanyak RM 17,300 diagihkan kepada atlet pelbagai acara yang mempamerkan prestasi cemerlang pada SUKIPT 2024.
Antaranya, sukan sepak takraw, woodball, ping pong, e-sport, berbasikal, renang, boling padang, ragbi wanita, karate, tenis, taekwondo, petanque, sofbol, silat, memanah, futsal, bola sepak, dan kayak.
Untuk rekod, UiTM mengenepikan cabaran juara bertahan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan perbezaann satu pingat perak untuk muncul juara keseluruhan pada kejohanan dwitahunan itu.
