SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya, berwaspada dan mengambil langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga akhir Mac 2025.
MBSA menjelaskan, sekiranya luruan monsun kuat dan wujud sistem cuaca bertekanan rendah, hujan lebat berterusan berpotensi melanda beberapa negeri lain di Malaysia.
Hujan lebat berterusan selama beberapa hari juga boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
“Sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan perhatikan jalan keluar dari lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
“Patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke pusat penempatan sementara yang telah disediakan,” katanya.
MBSA turut memaklumkan bagi sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam, sila hubungi Bilik Gerakan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) di talian 03-5510 5811.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda sebelas negeri, termasuk Selangor hingga malam ini.
Untuk rekod, Shah Alam pernah mengalami kejadian banjir besar pada tahun 2022 yang menyaksikan beberapa kawasan terjejas teruk seperti Seksyen 25.
Kejadian tersebut membabitkan kerugian sekitar RM1.4 bilion dan kerugian hampir RM400 juta kepada para penduduknya.
Untuk perkembangan terkini banjir layari portal bencana rasmi di www.portalbencana.nadma.gov.my
