NEW DELHI, INDIA – Dalam langkah penting ke arah mengekalkan kebersihan dan sanitasi di salah satu kota suci di India, Ayodhya, Cosmic Healers Private Limited (CHPL), telah mengambil inisiatif menyediakan penyelesaian inovatif dikenali Gobbler atau mesin pengutip sampah.
Usaha tersebut turut menjadi detik penting dalam usaha pihak berkuasa Ayodhya untuk memastikan ia bebas sampah, seiring dengan kempen kebersihan kerajaan pusat iaitu Swacch Bharat Abhiyan dan visi India yang lebih bersih.
Sebanyak empat unit Gobbler telah diserahkan kepada pihak berkuasa Ayodhya pada 17 April lalu dalam satu majlis khas Ram Navami yang merupakan simbolik kepada permulaan baharu kebersihan kota tersebut.
Pengasas dan Pengerusi CHPL, Dr. JPS Bakshi melahirkan rasa syukur dan bangga di atas penglibatan syarikat pengeluar mesin futuristik dan mesra alam itu dalam menjayakan agenda memelihara kota penting bagi penganut agama Budha itu.
“Kami berasa amat dihormati dan rendah hati kerana Gobbler dipilih untuk tugasan mulia ini di tanah suci Ayodhya,” katanya.
Gobbler mempunyai dua model iaitu Gobbler dan Gobbler Pro mampu membersihkan kawasan luas hingga 72,00 meter persegi dalam satu shift lapan jam.
Mesin yang direka untuk mengumpul pelbagai jenis sampah dengan cekap ini boleh beroperasi tanpa mencemarkan udara.
Jentera tersebut boleh digunakan di pelbagai tempat termasuk tempat letak kereta, gudang, laluan sesak dan destinasi pelancongan.
Pemilihan Gobbler oleh Majlis Perbandaran Ayodhya adalah untuk menekankan komitmen bersama kerajaan terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Ketika Ayodhya memulakan perjalanannya menuju masa depan bebas sampah, kehadiran Gobbler dapat memantapkan lagi usaha itu dengan teknologi inovatif dan dedikasi yang teguh terhadap kebersihan.
Untuk rekod, sehingga Jun 2024 kota purba itu menerima kunjungan lebih 11 juta pelancong, jauh mengatasi kota suci lain seperti Varanasi dan Prayagraj – Urban Transport News
Disunting oleh:
