393 views 2 mins 0 comments

PKD Petaling Giat Perluas Penggunaan Ovitrap di Sekolah Seluruh Selangor

In Berita, Komuniti
January 23, 2025
Khuzaimah menyampaikan ceramah berkaitan ovitrap di sebuah sekolah di Seksyen 24, baru-baru ini.

SHAH ALAM –  Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling giat memperluas usaha mengekang pembiakan nyamuk aedes melalui penggunaan alat perangkap telur nyamuk atau ovitrap ke seluruh sekolah di Selangor, khususnya daerah Petaling.

Setiausaha Pasukan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) Selangor, Khuzaimah Mohamad Sahib berkata, antara aktiviti yang dijalankan adalah mengadakan ceramah dan program libat urus secara berkala dengan pengurusan dan pelajar sekolah.

“Melalui program ini, peserta akan didedahkan dengan kaedah membuat ovitrap daripada bahan kitar semula.

“Mereka juga akan diberi tunjuk ajar mengenai tatacara penggunaannya oleh pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling,” katanya.

Ovitrap adalah alat perangkap telur nyamuk denggi yang diperbuat daripada bahan plastik yang berfungsi membunuh telur nyamuk dan menghalangnya daripada menetas.

Kaedah tersebut digunakan secara meluas di kawasan kediaman dan bangunan yang menjadi lokaliti panas denggi bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes dewasa.

Mengulas lanjut, Khuzaimah berkata, dua elemen penting iaitu pelekat dan air memainkan peranan penting bagi memastikan ovitrap yang dipasang benar-benar berkesan.

Menurut Khuzaimah lagi , ovitrap merupakan satu cara bagi mengurangkan aedes dengan kaedah menangkap telur dan nyamuk aedes dewasa.

“Ovitrap atau perangkap nyamuk ini merupakan sebuah alat untuk memerangkap telur dan nyamuk aedes dewasa menggunakan kaedah Sticky Lethal’. Nyamuk akan membiak di dalam air bersih yang diletakkan di dalam bekas ini.

“Apabila nyamuk aedes ini masuk ke dalam ovitrap untuk bertelur, nyamuk itu akan melekat pada bahagian ‘sticky’ tersebut sekaligus mengurangkan populasi nyamuk aedes di lokaliti tersebut,” jelasnya. 

Tambahnya, kaedah ovitrap ini mudah dilaksanakan oleh semua orang serta tidak memerlukan masa yang lama dan penyelenggaraannya juga adalah mudah. 

“Bagi kaedah ovitrap ini, kita hanya perlu memeriksanya sekali bagi seminggu penggunaan dan untuk penukaran bahan baru tidak perlu dilakukan pada setiap hari. Ini memudahkan semua pihak khususnya mereka yang bekerja kerana kaedah ini tidak perlu penjagaan yang rapi setiap hari,” ujarnya.

Farah Nor Hidayah
/ Published posts: 2

Setiap Kata Yang Ditulis Adalah Tanggungjawab Untuk Menyampaikan Realiti