641 views 2 mins 0 comments

Lebih Ramai Ahli Yakuza Dicekup Curi Gamat

In Berita, Global
May 28, 2025
Gamat digunakan secara meluas dalam penyediaan makanan masyarakat Jepun seperti pencuci mulut dikenali Chawanmushi yang dijual sekitar RM12. (Foto: SoraNews24)

TOKYO— Sejak bertahun lamanya, kumpulan jenayah terancang Jepun, Yakuza dilaporkan mencuri gamat di perairan negara itu berikutan lokasinya yang mudah ditemui dan mempunyai nilai tinggi sebagai makanan eksotik, bahan dalam kosmetik dan perubatan di negara tersebut dan bahagian lain Asia.

Hidupan laut berkenaan menjadi sasaran utama anggota jenayah terancang yang tidak mahir menangkap ikan seperti pencuri hasil laut yang lain.

Terbaru, seramai lapan lelaki berumur antara 20-an hingga 40-an dilaporkan ditahan bersama 485.5 kilogram gamat oleh Pengawal Pantai yang mengadakan rondaan di sebuah perairan berhampiran Momonai Wilayah Hokkaido.

Dalam kejadian awal bulan ini, sebuah bot getah kecil tanpa lampu dikesan mendarat di bandar berhampiran, Yoichi dan hasil pemeriksaan ke atas tiga lelaki menemui pelbagai peralatan menangkap gamat.

Berdasarkan peralatan yang dibawa oleh tiga lelaki tersebut, pihak berkuasa mengesyaki mereka terlibat dalam kegiatan mencuri gamat dan menahan mereka di lokasi kejadian. Ketiga-tiga lelaki tersebut sempat mencuba untuk larikan diri dengan berlari kearah laut namun akhirnya menyerah diri.

Hasil siasatan lanjut pihak berkuasa membawa kepada penangkapan lima lagi ahli kumpulan penjenayah tersebut termasuk beberapa yang dipercayai bertindak sebagai peninjau di darat.

Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut tetapi pihak polis masih belum mendedahkan sama ada mereka yang ditahan mengaku bersalah atau tidak.

Bagaimanapun, salah seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan pencuri mengaku dirinya sebagai ahli kumpulan jenayah terancang.

Perkembangan terbaru tersebut turut menarik perhatian netizen yang meninggalkan pelbagai komen reaksi terhadap berita tersebut, walaupun hasil rampasan yang didedahkan lebih kecil berbanding sebelum ini:
“Mereka jadi terlalu tamak.”
“Betul ke ada permintaan tinggi sangat untuk gamat?”
“Saya tertanya-tanya, polis buat apa dengan semua gamat tu. Makan ke?”
“Ia adalah bahan mewah di China.”
“Kenapa mereka tak jadi nelayan biasa je? Pun boleh buat duit.”
“Saya rasa perkataan ‘menceroboh’ tu bunyi macam ada kemahiran. Kutip gamat ni macam mencuri je.”
“Benda tu pun bukanlah sedap sangat pun.”
“Semua ni berbaloi ke sebenarnya?”

Walaupun harga gamat tidak setanding dadah atau senjata, hasil laut ini lebih mudah diseludup dan menjadikannya pilihan popular dalam jenayah maritim.

https://japantoday.com/category/crime/more-yakuza-members-caught-stealing-huge-haul-of-sea-cucumbers-from-the-ocean: Lebih Ramai Ahli Yakuza Dicekup Curi Gamat
Nadhirah Fattah
/ Published posts: 3

Menulis sebab dunia perlu tahu, bukan menulis hanya bila perlu.