212 views 2 mins 0 comments

Penduduk Gesa JPS Periksa Pintu Kunci Air Secara Berkala

In Berita, Komuniti
June 13, 2025
Keadaan di Kampung Padang Jawa yang digenangi air dalam banjir kilat awal bulan lepas.

SHAH ALAM- Komuniti penduduk Kampung Padang Jawa menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor supaya melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala terhadap pintu kunci air di sekitar kawasan tersebut bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang kembali pada masa hadapan.

Pengerusi Komuniti MADANI Padang Jawa, Hisham Parman, 65, berkata pemantauan berterusan akan dapat membantu pihak berkuasa dan penduduk menangani kejadian banjir secara lebih efektif.

“Pemeriksaan pada setiap bulan dan penyelenggaraan sekiranya perlu terhadap pintu-pintu kunci air dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan ini,” katanya.

Jelasnya lagi, insiden banjir kilat kerap berlaku terutamanya semasa hujan lebat berpanjangan bertembung dengan fenomena air pasang besar.

“Baru-baru ini, suku daripada kawasan Padang Jawa dilanda banjir kilat sehingga paras air mencecah lutut.

“Kita bimbang jika tidak ditangani segera, keadaan boleh menjadi lebih buruk seperti banjir besar pada tahun 2021 yang melibatkan hampir seluruh Selangor,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, beliau mendedahkan sebuah pintu kunci air yang rosak berhampiran sungai dan dipercayai menjadi antara punca utama kejadian banjir kilat berlaku di kawasan itu baru-baru ini telah dibaiki.

“Saya terus melaporkan (kejadian itu) kepada pihak berkuasa dan dalam masa tiga hari, pintu kunci air itu diganti. Sekiranya sikap responsif begini masih ada, ia akan menyelesaikan banyak masalah,” jelas beliau.

Pintu kunci air yang ditemui oleh Hisham, sebelum (kiri) dan selepas (kanan) diganti yang dikenal pasti menjadi salah satu punca banjir kilat berlaku.

Beberapa siri perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid, ahli majlis, jurutera JPS serta agensi berkaitan menambah baik infrastruktur sungai dan saliran.

Hisham berharap agar pihak berwajib lebih proaktif dalam memastikan semua pintu kunci air berada dalam keadaan baik demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Athirah Abdullah
/ Published posts: 1

Validasi Fakta, Demi Generasi Kita