429 views 2 mins 0 comments

UiTM Latih Pemimpin Muda Sekolah Rendah Melalui Program LAPIS

In Berita, Kampus
June 16, 2025
Aktiviti permainan interaktif seperti ‘Lead Games’ menjadi antara medium latihan komunikasi dan kepimpinan dalam Program LAPIS anjuran pelajar UiTM. - Foto Ihsan LAPIS

Shah Alam – Universiti Teknologi MARA Shah Alam melalui pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Komunikasi dan Polisi (MC248), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah menganjurkan Program Latihan Komunikasi Kepimpinan Tanpa Sempadan (LAPIS) yang melibatkan 53 orang pemimpin muda dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, di sini.

Program ini merupakan inisiatif pembangunan bakat kepimpinan dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya yang memegang jawatan seperti pengawas, ketua kelas dan pemimpin pelajar bagi memupuk kemahiran komunikasi serta keyakinan diri sebagai pelapis generasi masa depan.

Sebagai program berteraskan pendekatan pemindahan ilmu dari pelajar universiti kepada komuniti, LAPIS dirangka untuk memperkenalkan asas teori kepimpinan melalui pelaksanaan aktiviti berbentuk praktikal yang menyeronokkan dan interaktif.

Para peserta telah menyertai pelbagai modul latihan termasuk sesi ceramah, simulasi komunikasi, dan permainan “Lead Games” yang direka khusus untuk membina kemahiran membuat keputusan, semangat berpasukan dan keberanian dalam berucap.

Pengarah program Uma Angelina Peter, berkata program ini telah mendapat sambutan luar jangka daripada pihak sekolah sehingga jumlah peserta melebihi kapasiti asal.

“Pihak sekolah menunjukkan minat tinggi terhadap program pendidikan kepimpinan di peringkat awal.

“Program pada kali ini disifatkan berjaya bukan hanya kerana sambutan yang luar biasa ditunjukkan oleh peserta tetapi juga sokongan padu yang diberikan oleh pihak sekolah dalam menjayakan program LAPIS ini,” katanya.

Selain memberi impak kepada murid sekolah, Uma turut menyifatkan program ini sebagai peluang besar kepada pelajar MC248 untuk mengaplikasikan teori fasilitasi dan pengurusan dalam situasi sebenar.

“Saya melihat program LAPIS ini tidak hanya memberikan impak secara langsung kepada murid di sekolah tetapi turut memberi nilai tambah kepada penganjur melalui interaksi yang terhubung dengan para peserta.

“Ini secara tidak langsung menguji tahap kemahiran sosial dan tanggungjawab terhadap komuniti yang tinggi terutama bagi mahasiswa universiti sebagai penganjur,” tambahnya.

Kejayaan pelaksanaan program ini turut mendapat maklum balas positif daripada pihak sekolah yang melihat penglibatan pelajar universiti sebagai fasilitator sebagai satu pendekatan latihan yang segar dan memberi inspirasi kepada murid.

Melalui penglibatan secara langsung dengan komuniti sekolah, program ini turut menyokong usaha UiTM dalam memperkasa jaringan masyarakat dan pembangunan sahsiah generasi muda secara berterusan.

Siti Aisyah
/ Published posts: 1

Yang Dipercayai Sahaja