1150 views 3 mins 0 comments

SMT 4.0 Bantu Pelajar Fahami Had Kebebasan Bersuara di Era Media Sosial

In Kampus
June 25, 2025
Program SMT4.0 merupakan inisiatif yang wajar diketengahkan dalam usaha memupuk penggunaan media sosial secara bijak dan berhemah dalam kalangan generasi muda. (Foto Ihsan SMT4.0)

KUALA TERENGGANU– Seramai 32 pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mengambil langkah proaktif menganjurkan program See Media Through 4.0 (SMT 4.0) bagi membantu pelajar sekolah memahami had kebebasan bersuara di media sosial.

Program tersebut memberi fokus kepada pemahaman hak bersuara yang tertakluk kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang turut menekankan kepentingan bersuara secara beretika dan mengikut batas undang-undang.

Menurut ketua projek, Ariff Danial Ashnor, SMT 4.0 dirangka bagi membuka mata pelajar sekolah tentang peranan mereka sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

“Objektif utama kami adalah untuk memastikan pelajar faham mereka ada hak untuk bersuara, tetapi hak itu ada batasnya sekali gus mendidik mereka menjadi pengguna media sosial yang sedar, beretika dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan apa yang mereka inginkan,” katanya.

Sementara itu, penasihat program yang juga pensyarah kursus Undang-Undang Media, Peraturan dan Etika, Dr Mohd Yusof Zulkefli menegaskan bahawa pendidikan mengenai hak bersuara perlu diterapkan sejak peringkat sekolah untuk membendung budaya bebas yang semakin merisaukan di media sosial.

“Ramai remaja hari ini berani bercakap di media sosial tetapi mereka tidak sedar ada undang-undang yang mungkin mereka langgar.

“Program ini bertujuan melahirkan generasi muda yang celik media dan faham undang-undang, bukan generasi yang hanya tahu bercakap tanpa fikir kesan sampingan akibat tindakan yang dilakukan,” katanya.

Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta didedahkan dengan aktiviti ceramah, bengkel dan simulasi yang memberi kefahaman tentang bagaimana kebebasan bersuara boleh membawa manfaat, tetapi dalam masa yang sama mampu memberi kesan negatif jika disalah guna, termasuk dalam isu penyebaran kandungan ragebait yang sengaja direka untuk mencetuskan provokasi.

Program ini turut menjadi platform kepada mahasiswa UiTM untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi bersama komuniti sekolah, selaras dengan pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menghubungkan universiti dengan masyarakat.

Dalam sesi khas, wakil Malaysian Community of Old Trafford (MCOT), Farha Umeiyra Jafrikhairi turut berkongsi bagaimana kebebasan bersuara ditafsir dan diamalkan dalam konteks global, memberi pendedahan baharu kepada peserta tentang keperluan berkomunikasi secara bertanggungjawab di mana-mana sahaja.

“Di mana-mana pun, kebebasan bersuara bukan lesen untuk bercakap sesuka hati dan kita perlu tahu bila dan bagaimana untuk bercakap supaya apa yang kita sampaikan memberi manfaat, bukan menimbulkan masalah,” katanya.

Farha turut mengingatkan bahawa memilih platform dan cara menyampaikan pendapat adalah antara perkara penting yang perlu difahami oleh remaja masa kini.

Seorang peserta, Muhammad Hazim Abdul Khalib, 16, berkata program tersebut memberi kesedaran baharu bahawa media sosial bukan sekadar tempat meluahkan perasaan.

“Melalui program ini saya mempelajari bahawa media sosial bukan sekadar untuk membuat hantaran sesuka hati tetapi perlu fikir terlebih dahulu kerana hantaran kita mungkin boleh memberi kesan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas program.

SMT 4.0 dilihat sebagai salah satu inisiatif yang efektif dalam membina kefahaman awal tentang hak bersuara secara beretika seterusnya memperkasakan pelajar sekolah agar lebih peka terhadap undang-undang dan budaya komunikasi yang bertanggungjawab di era digital.

Syafi Fauzan
/ Published posts: 7

Berita itu nyawa, fakta itu senjata. Tugasku untuk memastikan masyarakat tidak buta.