475 views 2 mins 0 comments

Balai Bomba Shah Alam terima selimut kebakaran EV daripada PROLINTAS

In Berita
June 26, 2025
Wakil PROLINTAS LKSA menyerahkan satu unit selimut kebakaran kenderaan elektrik kepada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam. (Foto: Facebook)

SHAH ALAM – Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam menerima sumbangan satu unit selimut kebakaran kenderaan elektrik (EV) daripada Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) pada 13 Jun lalu.

Sumbangan tersebut disalurkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam untuk kegunaan dalam operasi kecemasan melibatkan kenderaan jenis berkenaan.

Peralatan dikenali sebagai EV Car Fire Blanket itu merupakan inovasi baharu dalam aspek keselamatan kebakaran kenderaan moden.

Ia direka untuk menutupi keseluruhan kenderaan EV yang terbakar, menyekat bekalan oksigen, mengurangkan penyebaran api dan membantu menyejukkan bateri dengan lebih cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Nazmi Halil berkata sumbangan itu membantu memperkukuh aset operasi pasukan bomba dalam menghadapi cabaran baharu melibatkan kenderaan moden.

“Selimut kebakaran EV adalah satu inovasi keselamatan yang menjadi tumpuan. Ia akan digunakan bagi menangani kebakaran kereta EV di kawasan operasi kami,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan PROLINTAS dalam pelbagai aspek berkaitan keselamatan dan operasi kecemasan.

“Walaupun kes kebakaran melibatkan EV masih terkawal dan jarang berlaku, pasukan bomba tetap perlu bersedia. Peralatan ini membantu kami bertindak lebih pantas dan selamat,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan anggota bomba akan mengikuti latihan khas bagi menggunakan selimut ini dengan betul serta menjalani latihan kendalian di balai.

Majlis penyerahan turut dihadiri wakil PROLINTAS dan beberapa pegawai bomba yang terlibat dalam operasi kecemasan.

Sumbangan ini dilihat sebagai sokongan langsung daripada sektor swasta terhadap kesiapsiagaan agensi penyelamat.

Langkah ini juga mencerminkan kepentingan kerjasama rentas sektor dalam mendepani risiko baharu berkaitan teknologi automotif.

Siti Sarah Abu Kassim
/ Published posts: 2

Mata pada dunia, hati pada cerita.