1978 views 2 mins 0 comments

Polis Indonesia Serbu Pesta Gay, 75 Individu Ditahan

In Global
June 30, 2025
Tahanan yang dipercayai terlibat dalam 'pesta gay' ditahan untuk soal siasat selepas polis menyerbu pesta tersebut. ( Foto : bbc.com)

BOGOR – Polis Indonesia menyerbu sebuah perhimpunan sosial di bandar Bogor pada minggu lalu dan menahan seramai 74 lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam sebuah “pesta gay” di Kota Bogor yang terletak di wilayah Jawa Barat, Indonesia. 

Serbuan tersebut dilaporkan berlaku selepas pihak berkuasa menerima maklumat awam mengenai aktiviti yang dikatakan melibatkan komuniti LGBTQ+ di lokasi berkenaan.

 Operasi tersebut dijalankan secara mengejut dengan kehadiran anggota polis yang lengkap bersenjata.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bogor untuk proses soal siasat dan pemeriksaan kesihatan, termasuk ujian saringan HIV.

Pihak berkuasa turut berkata mereka merampas beberapa barangan seperti kondom, alat permainan seks dan sebilah pedang yang dipercayai digunakan dalam persembahan tarian semasa majlis tersebut berlangsung.

Barang-barang yang dirampas itu kini dijadikan bahan bukti bagi mendakwa mereka yang terlibat di bawah Undang-undang Pornografi 2008 dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Walaupun undang-undang persekutuan Indonesia tidak mengharamkan homoseksualiti, komuniti LGBTQ+ masih kerap menjadi sasaran menerusi undang-undang moral dan peraturan tempatan, terutama di wilayah seperti Aceh dan Sumatera Selatan.

Amnesty International Indonesia menyifatkan serbuan tersebut sebagai diskriminasi yang jelas terhadap komuniti LGBTQ+ serta pelanggaran terhadap hak privasi dan kebebasan individu.

Timbalan Pengarah Amnesty International Indonesia, Wirya Adiwena, mendesak agar kesemua individu yang ditahan dibebaskan segera dan tanpa syarat.

 “Orientasi seksual tidak seharusnya dijadikan asas untuk tindakan undang-undang” tegasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan Indonesia agar menghentikan gangguan sistematik terhadap komuniti LGBTQ+ dan mengambil langkah melindungi hak asasi semua rakyat tanpa diskriminasi berdasarkan orientasi seksual atau identiti jantina.

https://gcn.ie/arrests-indonesia-police-raid-gay-party/: Polis Indonesia Serbu Pesta Gay, 75 Individu Ditahan
Faen Nabilah Faidzul Nizam
/ Published posts: 2

Bekerja Di Antara Garis Fakta Dan Garis Masa.