370 views 2 mins 0 comments

Suri Rumah Hampir Jadi Mangsa Pemilik Rumah Sewa Palsu

In Berita, Komuniti
July 03, 2025
Paparan perbualan Whatsapp antara suri rumah dan individu yang menyamar sebagai pemilik rumah sewa.

SHAH ALAM – Seorang suri rumah hampir menjadi mangsa penipuan rumah sewa selepas berurusan dengan individu yang menyamar sebagai pemilik sebuah rumah teres di Seksyen 28, di sini. 

Menurutnya, kejadian bermula apabila dia membuat hantaran di sebuah laman komuniti Facebook mencari rumah sewa selepas melangsungkan perkahwinan beberapa bulan lalu. 

Hantaran tersebut kemudiannya mendapat komen pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai FIZI PUTRA yang memintanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Individu terbabit mendakwa memiliki sebuah rumah teres untuk disewa di Seksyen 28 dengan harga hanya RM750 sebulan. 

“Dia bagi gambar dan lokasi, memang nampak meyakinkan,” katanya.

Bagaimanapun, wanita tersebut mula berasa curiga apabila diminta membuat bayaran “lock booking” ke dalam akaun bank atas nama individu berbangsa Cina, sedangkan suspek berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan gambar profil di Facebook juga seorang lelaki Melayu.

Tambah mencurigakan katanya, suspek enggan berjumpa secara fizikal kerana sambil memberi alasan berada di luar kawasan dan meminta bayaran dibuat melalui kod QR milik isterinya.

“Saya minta nak tengok rumah dulu, dia kata boleh tengok 29 haribulan sebab penyewa lama keluar 26 haribulan, tetapi tetap suruh bayar dulu,” ujarnya lagi.

Penipuan lelaki terbabit bagaimanapun terbongkar apabila pengadu menemui iklan rumah sebenar yang dimuat naik pemilik premis tersebut di laman Marketplace. 

“Iklan tersebut menunjukkan rumah berkenaan sebenarnya terletak di Puchong dan disewakan pada harga RM1,200 sebulan bukan RM750 seperti didakwa,” jelasnya.

Menyedari perkara itu, wanita terbabit terus membatalkan hasratnya untuk menyewa rumah itu dan bersyukur kerana belum membuat sebarang bayaran.

Sehubungan itu, dia menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan di media sosial supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan rumah sewa yang semakin berleluasa ketika ini.

Natasya Hishamudin
/ Published posts: 3

Bukan sekadar menulis, tetapi memastikan setiap cerita membawa makna dengan ketepatan dan integriti.