886 views 5 mins 0 comments

Warga Emas Semakin Ramai di Shah Alam: Antara Kemajuan dan Kemanusiaan

In Keluarga, Rencana
July 12, 2025
Shah Alam terus membangun dan kini tiba masa untuk membina ruang buat mereka yang sedang meniti senja. (Foto: Agoda)

SHAH ALAM – Di tengah denyut nadi sebuah bandar yang terus berlari ke hadapan dengan pembangunan pesat, sistem bandar pintar dan lampu jalan LED yang menyimbah cahaya ke jalanan malam terselit satu realiti yang kian jelas, Shah Alam sedang menua.

Dengan setiap tahun yang berlalu, bilangan warga emas di bandar ini meningkat dengan ketara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor kini menempatkan lebih 366,000 individu berusia 60 tahun ke atas menjadikannya negeri dengan populasi warga emas tertinggi di negara ini. 

Di Shah Alam sendiri, Mantan Datuk Bandar Dr. Nor Fuad Abdul Hamid mendedahkan peningkatan sebanyak lapan peratus hanya dalam tempoh dua tahun lalu.

Bandar ini, yang dahulunya dibina sebagai simbol kemodenan dan keteraturan, kini perlu menjawab satu persoalan mendasar bahawa adakah Shah Alam bersedia menjadi kota yang bukan sahaja maju, tetapi juga berperikemanusiaan?

Sebagai langkah awal, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah merancang pembinaan kompleks kediaman khas untuk warga emas di Seksyen 13, betul-betul di hadapan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).

Projek itu, yang berkonsepkan “assisted living”, bakal menjadi model pertama di bandar ini. Setiap unit akan dilengkapi dengan butang kecemasan dan sokongan bantuan ringan, bukan sekadar tempat berlindung, tetapi ruang hidup yang memberi rasa selamat, khususnya buat mereka yang meniti hari-hari senja secara bersendirian.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan fizikal semata-mata, tetapi juga memberi ketenangan fikiran kepada keluarga yang mungkin jauh dari ibu bapa mereka,” ujar Dr. Nor Fuad dalam satu sidang MBSA.

Namun, hidup warga emas tidak boleh disempitkan hanya kepada empat dinding kediaman. Yang mereka perlukan jauh lebih besar seperti akses kesihatan yang mudah, keselamatan di ruang awam, mobiliti yang tidak membebankan dan paling penting, rasa dihargai dan tidak dipinggirkan.

Shah Alam, sebagai jantung pentadbiran Selangor, sebenarnya punya potensi besar untuk menjadi kota contoh dalam membina kehidupan warga emas yang bermaruah.

Kemajuan teknologinya, jika digunakan dengan bijak, boleh menjadi jambatan emas antara kemajuan fizikal dan keperluan jiwa manusia.

Contohnya, penggunaan sistem penyejukan berpusat (district cooling system) di Ibu Pejabat MBSA, yang menggunakan teknologi penyejukan dengan penghasilan ais pada waktu malam. Bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah mewujudkan suasana yang lebih sejuk, sesuatu yang amat bernilai buat warga emas, terutama ketika cuaca tropika semakin tidak menentu.

Begitu juga dengan penukaran 38,000 lampu jalan kepada jenis LED sejak 2018, yang telah mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan RM7.2 juta dalam kos elektrik. Penjimatan ini sewajarnya dikembalikan kepada rakyat, melalui pelaburan dalam perkhidmatan sosial seperti pengangkutan khas, pusat aktiviti harian, serta program kesihatan bergerak yang mampu menjangkau warga emas di rumah mereka.

Namun, semua ini tidak akan bermakna jika jiwa masyarakat terus terasing. Dalam dunia moden yang menyaksikan ikatan kekeluargaan semakin longgar, semakin ramai warga emas hidup dalam kesunyian. Tidak sedikit yang terpaksa menghadapi hari-hari tua mereka dalam sepi, dalam derita yang tidak terlihat, dalam keadaan fizikal yang rapuh dan mental yang perlahan-lahan meretak.

Bandar yang hebat bukan sahaja membina menara tinggi, tetapi juga membina sokongan untuk manusia yang semakin menunduk dimakan usia.

Shah Alam tidak boleh hanya bergerak atas landasan pembangunan fizikal tetapi mesti membina ekosistem sosial yang menyokong warga emas untuk hidup aktif, berdaya dan dihormati. Kerana ini bukan sekadar soal kebajikan, tetapi soal keadilan untuk mereka yang telah menyumbang tulang empat kerat membina bandar ini puluhan tahun lamanya.

Menjadi bandar mesra warga emas bukan satu pilihan mewah tetapi adalah tanggungjawab moral. Perkara menuntut empati, keikhlasan dalam pelaksanaan dan kesedaran bahawa setiap fasa kehidupan, termasuk usia tua, mempunyai nilai yang tidak ternilai.

Kini, Shah Alam berdiri di satu persimpangan penting. Sama ada memilih untuk menjadi peneraju kota inklusif yang menghargai setiap generasi, atau terus melangkah ke hadapan dengan meninggalkan mereka yang perlahan di belakang.

Kerana akhirnya, ukuran sebenar kemajuan bukan pada kelajuan internet, bukan pada sistem canggih semata-mata, tetapi juga pada bagaimana kita menjaga, menyantuni dan menghormati insan-insan yang telah berjasa.

Zairain Zaidi
/ Published posts: 3

Jambatan untuk suara yang kurang didengari dan yang sering dianggap tiada erti.