HERMOSILLO, MEXICO — Sekurang-kurangnya 23 termasuk enam kanak–kanak maut, manakala 12 lagi cedera dalam kejadian kebakaran di sebuah kedai barangan murah Waldo’s di pusat bandar Hermosillo, negeri Sonora, Mexico, pada Sabtu.
Menurut laporan awal Palang Merah Mexico, mangsa terkorban terdiri daripada 12 wanita, lima lelaki, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital di ibu negeri Sonora untuk rawatan lanjut.
Media tempatan melaporkan pekerja berdekatan bangunan malang tersebut memberitahu sebelum kejadian itu berlaku, kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan elektrik yang disusuli dengan bunyi kuat seperti letupan.
Pasukan bomba Hermosillo menerima panggilan kecemasan pada pukul 3:03 petang dan bergegas ke lokasi bersama anggota Perlindungan Awam Negeri Sonora, tentera Mexico serta sepuluh ambulans Palang Merah.
Kawasan sekitar bangunan berkenaan kemudiannya ditutup sepenuhnya bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan mengelakkan risiko tambahan.
Menurut laporan awal Pejabat Pendakwa Negeri Sonora, kebakaran dipercayai berpunca daripada kerosakan pada transformer elektrik di dalam premis tersebut.
“Setelah pasukan bomba selesai memadamkan kebakaran dan memastikan kawasan selamat, siasatan forensik akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian,” kenyataan pejabat itu.
Pegawai berkenaan menambah, penyiasat akan meneliti semua bukti fizikal bagi mengesahkan teori awal yang mengaitkan transformer sebagai punca kebakaran.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sonora, Aldofo Salazar Razo, memaklumkan cawangan Waldo’s terbabit tidak mempunyai program Perlindungan Awam yang sah sejak 2021 dan kelemahan itu menyebabkan pihak berkuasa menutup 68 cawangan syarikat tersebut di seluruh negeri.
Kebakaran berkenaan turut menimbulkan kebimbangan terhadap pematuhan keselamatan bangunan komersial di kawasan berpenduduk padat di Hermosillo.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan memastikan tanggungjawab pihak terlibat dalam kejadian tragik itu.
