367 views 2 mins 0 comments

Aneka makanan, persembahan pempengaruh tarikan utama pengunjung Senja Di Elmina

In Berita, Ekonomi, Usahawan
November 12, 2025
Senja di Elmina, anjuran Sime Darby Property.

SHAH ALAM – Deretan gerai beraneka makanan dan persembahan pempengaruh media sosial sudah cukup menarik kehadiran pengunjung ke acara Senja di Elmina di Tasik Elmina, Shah Alam, di sini.

Program berkonsepkan pemandangan matahari terbenam anjuran Sime Darby Property berkenaan menambahkan lagi tarikan sedia ada di kawasan tersebut.

Pengurus Program, Haziq Hamid berkata acara tersebut bukan sekadar memperkenalkan kawasan Elmina yang mempunyai potensi besar sebagai lokasi rekreasi, malah turut mempromosi produk perniagaan usahawan tempatan.

Haziq (tengah) bersama dua krew Senja di Emina mempamerkan poster.

“Senja di Elmina merupakan inisiatif untuk bangunkan ekonomi melalui remaja-remaja belia.

“Ramai vendor kurang berkemampuan diberi platform untuk menjalankan perniagaan secara percuma,” katanya ketika ditemui di lokasi program.

Senja di Elmina diadakan selama tiga minggu berturut-turut bermula 8 hingga 23 November dengan pelbagai aktiviti dan jualan setiap hujung minggu yang direka untuk menarik pengunjung dari semua lapisan masyarakat.

Acara ini memberi peluang kepada belia dan peniaga tempatan memasarkan produk mereka secara langsung kepada pengunjung, termasuk golongan kurang berkemampuan yang mungkin tidak mempunyai ruang atau modal untuk berniaga di lokasi lain.

Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk jualan makanan, minuman, barangan kreatif serta persembahan nyanyian dipenuhi lampu-lampu yang memeriahkan suasana, menjadikan pengalaman pengunjung lebih interaktif dan menyeronokkan.

Bagi peniaga pula, pengalaman berniaga di acara tersebut memberikan cabaran dan peluang yang unik kerana mereka perlu menyesuaikan produk mereka dengan keperluan dan minat pengunjung.

“Tempat di sini lebih terbuka, lampu semua okay dan crowd (pengunjung) pun steady. Jadi memang sesuai untuk berniaga.

“Kalau sambutan baik, inshaAllah kami akan join setiap minggu,” kata Arif Shaharudin, pemilik Bamba Desserts by 4HB.

Seorang pengunjung, Fahim Malik, berkata beliau tertarik dengan acara ini kerana ingin merasai pengalaman suasana secara lansung, mencuba pelbagai makanan dan aktiviti dalam suasana yang selesa dan menyeronokkan.

Sebahagian daripada pengunjung yang hadir ke acara Senja di Elmina tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai makanan yang dijual di gerai-gerai yang disediakan.

Event macam ni sepatutnya diadakan lagi kerana ia membantu peniaga kecil dan menarik minat golongan remaja untuk luangkan masa di sini.

“Makanan yang dijual pun murah dan berpatutan, jadi ramai yang boleh enjoy sambil support vendor tempatan,” katanya.

Yuna Nazwa
/ Published posts: 1

Wartawan muda yang bercerita dengan jiwa.