436 views 2 mins 0 comments

Masalah Penglihatan Tidak Halang Noryn Sofea Cemerlang Dalam Catur

In Kampus, Sukan
November 29, 2025

SHAH ALAM – Diuji dengan masalah penglihatan sejak lahir, tidak menghalang atlet catur Johor, Noryn Sofea Mohd Hasry bergelar graduan Diploma Analisis Pelaburan.

Menurut graduan Universiti Teknologi MARA cawangan Johor itu, dia menghidap Coloboma iaitu kecacatan bahagian mata yang boleh menjejaskan penglihatan dan menyebabkan sensitiviti tinggi terhadap cahaya, sejak lahir.

“Saya menghidap Coloboma sejak lahir yang menyebabkan saya rabun jauh dan lebih sensitif kepada cahaya,” katanya.

Noryn Sofea akui kondisi matanya itu menyebabkan perjalanannya menamatkan pengajian bukan lah mudah. 

Justeru dia berterima kasih kepada semua rakan-rakan dan pensyarah yang memahami keadaannya dan memberi kerjasama sepanjang sesi pembelajaran.

“Biasanya saya minta pensyarah kongsi slide sebelum kelas bermula atau saya akan guna kamera telefon untuk zoom. Tanpa mereka, saya mungkin akan ketinggalan,” katanya.

Noryn Sofea menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Shah Alam hari ini bagi meraikan kejayaannya sebagai graduan

Walaubagaimanapun, masalah penglihatan tidak menghalang Noryn untuk mengejar minatnya dalam sukan catur sehingga mewakili Johor dalam Temasya Para SUKMA.

“Saya mula join catur sejak berusia 10 tahun apabila guru-guru sekolah rendah mencungkil bakat saya. Alhamdulillah saya berjaya mewakili sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Ketika di sekolah menengah, seorang cikgu yang terlibat dalam catur Para SUKMA menyedari potensinya. 

“Cikgu terus berikan nama saya kepada jurulatih dan pengurus pasukan catur Para SUKMA Johor,” jelasnya.

Kejayaan Noryn Sofea meraih pingat emas di temasya itu hasil latihan intensif bersama pasukan Johor.

“Kejayaan saya merupakan hasil kerja keras pasukan yang berlatih siang dan malam,” ujarnya.

Noryn Sofea ditemani ibu bapa tercinta pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Shah Alam sidang ke-6.

Dia ditemuramah Shah Alam Times ketika hadir pada sidang-6 Istiadat Konvokesyen UiTM bagi Fakulti Pengurusan Perniagaan Cawangan Johor, di sini.

Yasmin Bahari
/ Published posts: 4

Fakta diperjuang, Auta dihalang