101 views 3 mins 0 comments

Merapatkan Jurang Komunikasi Golongan Pekak, Masyarakat

In Gaya Hidup
April 25, 2026
Penganjuran program Inclusivity Carnival 2.0, mampu merapatkan jurang komunikasi di antara golongan pekak dan masyarakat. - SAT

SHAH ALAM – Dalam dunia yang penuh dengan suara, komunikasi sering dianggap mustahil tanpa kata-kata. Namun, bagi komuniti pekak, komunikasi tetap berlaku bukan melalui pertuturan lisan tetapi gerak geri tangan yang lincah menyampaikan maksud bicara.

Bagi mereka, komunikasi hadir dalam bentuk yang berbeza, iaitu melalui bahasa isyarat, ekspresi wajah dan usaha untuk saling memahami.

Nor Afifah Akbar Merican menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Program Inclusivity Carnival 2.0 – SAT

Seorang peniaga pekak, Nor Afifah Akbar Merican, 36, memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual ayam Korea, aneka popia dan roti jala. Walaupun tiada suara kedengaran antara beliau dan pembeli, namun urusan jual beli tetap berjalan lancar. 

“Asalkan mereka tunjuk ataupun menulis dekat kertas, kami terima seadanya,” katanya menerusi jurubahasa Isyarat

“Saya tidak berhadapan sebarang kesukaran apabila berinteraksi dengan golongan normal, kebanyakan interaksi menggunakan aplikasi komunikasi Whatsapp, dan ia memudahkan urusan jual beli”, katanya ketika ditemui di program Inclusivity Carnival 2.0 anjuran Fakulti Pergigian Universiti Malaya, baru-baru ini.

Pengalaman itu menolak persepsi umum bahawa komunikasi dengan komuniti pekak adalah sukar, sebaliknya boleh berlaku dengan lancar apabila kedua-dua pihak bersedia untuk cuba menyesuaikan diri.

Namun begitu, dia berharap lebih ramai orang dapat mempelajari asas bahasa isyarat bagi memudahkan interaksi dengan komuniti pekak.

Mohamad Sazali Sha’ari (kiri) dan Ong Shin Ruenn menunjukkan isyarat tangan ‘saya sayang awak’ kepada jurugambar Shah Alam Times ketika ditemui di program Inclusivity Carnival 2.0., baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Sha’ari berkata, jurang komunikasi di antara golongan istimewa tersebut  menyebabkan mereka mengalami kesukaran, khususnya dalam akses kepada perkhidmatan kesihatan. 

“Ketiadaan komunikasi yang jelas semasa sesi rawatan berlaku di antara pesakit daripada golongan kami dan pegawai perubatan boleh menyebabkan salah faham berlaku,” ujarnya. 

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn menyaran pembelajaran pembelajaran asas bahasa isyarat diperluas kepada masyarakat agar lebih ramai mampu berinteraksi dengan komuniti pekak.

Beliau turut membandingkan dengan negara seperti Korea Selatan yang lebih maju dalam aspek komunikasi inklusif, sekali gus menunjukkan ruang penambahbaikan di Malaysia. 

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati, seramai 48,382 orang kurang upaya (OKU) pendengaran berdaftar di Malaysia setakat tahun 2025.

Daripada jumlah tersebut, seramai 26,492 ialah lelaki manakala 21,890 perempuan. 

Komuniti ini merupakan kelompok masyarakat yang signifikan dan memerlukan perhatian khusus dari segi akses dan komunikasi yang inklusif.

Sebahagian daripada peserta sedang melakukan aktiviti senaman ‘Pound’ Di Ruang Legar Balai Ungku Aziz, Universiti Malaya semasa program Inclusivity Carnival 2.0 – SAT
Zulfa Zainizam
/ Published posts: 1

We don’t sell stories, we deliver reality