57 views 3 mins 0 comments

Isu Remaja Sekolah Merempit Masih Membimbangkan

In Berita, Komuniti
May 11, 2026
Gejala merempit dalam kalangan remaja sekolah yang semakin menjadi-jadi (Imej janaan AI)

SHAH ALAM – Gejala merempit dalam kalangan remaja sekolah masih pada tahap membimbangkan, kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah boleh mengancam pengguna jalan raya yang lain. 

Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku melibatkan golongan ini adalah kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi remaja ini masih kurang pengalaman menunggang motosikal dan cenderung untuk mengambil risiko. 

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 532,125 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal direkodkan sepanjang tahun 2025.

Situasi ini turut dikaitkan dengan kes rempit dalam kalangan remaja sekolah yang semakin membimbangkan. 

Menurut tinjauan dalam beberapa buah kawasan sekitar Shah Alam seperti di Hicom dan Alam Megah, kebanyakan remaja terlibat dalam kegiatan tersebut disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk mencuba perkara baharu.

Rata-rata mereka berada dalam lingkungan umur antara 15 hingga 17 tahun. 

Sebilangan mereka memandang ringan isu ini, malahan ada di antara mereka yang tidak menyedari bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka ditahan. 

Pegawai Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tuan Mohamad Khuzairi Tuan Ibrahim, 27, berkata pelbagai inisiatif dan kempen kesedaran yang telah dilaksanakan dengan kerjasama antara pihak sekolah, namun aktiviti tersebut masih lagi berlaku hingga sekarang. 

“Bagi mereka yang memandu secara berbahaya atau melulu, tidak memakai topi keledar dan terlibat dalam kegiatan merempit atau lumba haram, mereka boleh didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Di bawah akta tersebut, pesalah di bawah umur boleh dikenakan denda sebanyak RM1000 hingga RM 2000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

“Manakala bagi ibu bapa pula akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33, Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) seperti denda sehingga RM 20,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya atas sebab kecuaian atau pengabaian dari ibu bapa kepada mereka,” katanya kepada Shah Alam Times.

Berdasarkan tinjauan JPJ, beliau turut menjelaskan kebiasaan remaja ini mula merempit sekitar pukul 1 hingga 4 pagi, termasuk selepas waktu tamat persekolahan, 

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Asnah Mohd Nor, 47, memaklumkan remaja ini mula mengganggu kawasan pada malam hujung minggu dan selepas tamat persekolahan, khususnya pada hari Jumaat.  

“Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak kecil, aktiviti ini sangat mengganggu kerana bunyi yang terlalu bising mengakibatkan tidur anak-anak ini terganggu, dan sekiranya mereka terjaga, maka sukar untuk menenangkan mereka,” kata Asnah kepada Shah Alam Times. 

Menurut Asnah, tindakan yang sedia ada masih lagi tidak mencukupi kerana kurangnya pemantauan antara komuniti. 

Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang aduan berkaitan dengan aktiviti tersebut melalui platform e-Aduan JPJ atau Sistem Pengurusan Awam (SISPA) bagi memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat.

Melissa Ibrahim
/ Published posts: 2

Busy collecting whispers in Shah Alam