PUNCAK ALAM – Sambutan Hari Ibu yang disambut setiap 10 Mei sentiasa menjadi detik istimewa bagi anak-anak menzahirkan penghargaan penuh tulus ikhlas kepada insan yang bergelar ibu.
Tidak terkecuali mahu meraikan insan tersayang keluarga ini, Mizuki Cakes menawarkan pelbagai pilihan serta dekorasi kek bertemakan musim, khususnya sempena sambutan Hari Ibu.
Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Mizuki Cakes and Cafe Sdn Bhd, Muhammad Fakharuddin Zulkefly, 33, sambutan ini bukan sahaja mencatatkan rekod jualan tertinggi, malah membawa makna mendalam buat dirinya kerana ibunya turut menyumbang dalam membangunkan kafe tersebut.
Secara berseloroh, dia membandingkan situasi itu dengan sambutan Hari Bapa yang dilihat kurang mendapat sambutan dari sudut perbelanjaan pelanggan.
“Sejujurnya jarang orang berbelanja untuk Hari Bapa, namun semuanya adalah tentang ibu.
“Dalam agama Islam sendiri pun, darjat seorang ibu itu sangat diutamakan maka sebab itulah pelanggan sanggup berbelanja lebih pada hari istimewa tersebut,” jelasnya.
Katanya, sambutan Hari Ibu sentiasa menerima reaksi luar biasa berbanding hari-hari lain dan pelanggan sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk menghadiahkan sesuatu yang cantik dan memberikan kenangan manis buat ibu mereka.
“Jualan tertinggi kami sepanjang perniagaan beroperasi adalah pada Hari Ibu tahun 2024.
“Memandangkan Hari Ibu jatuh pada 10 Mei, kami tidak pasti mengenai rekod jualan yang mendatang, namun kami berharap dapat mengatasi rekod tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Shah Alam Times.

Mengenang kembali perjalanannya dalam bidang perhiagaan, di sebalik kejayaan sebuah premis bernama Mizuki Cakes, adanya tangan yang menjadi nadi kepada hidangan yang disajikan.
Pada awal penubuhannya sekitar Jun 2021, ibunya merupakan antara staf terawal yang membantu menguruskan operasi kafe, selain bertanggungjawab menghasilkan resipi kek brownies dan juga red velvet yang kini menjadi antara pencuci mulut kegemaran pelanggan.
Bagi menguruskan permintaan yang tinggi pada musim ini, Mizuki Cakes mengambil pendekatan operasi yang lebih sistematik, di mana pihak kafe menetapkan reka bentuk khusus untuk Hari Ibu dan tidak menerima tempahan luar biasa seperti kek duit tarik.
“Antara rekaan yang paling mendapat sambutan tahun ini adalah kek berbentuk sejambak mawar kerana ia menggabungkan elemen jambangan bunga dan kek dalam satu produk,” ujarnya.

Selain menawarkan pelbagai jenis kek, Mizuki Cakes turut memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok untuk menyebarkan mesej menghargai ibu melalui produk keluaran mereka.
Inisiatif ini didorong oleh pengalaman pihak kafe menerima luahan pelanggan yang menyayat hati, terutamanya mereka yang telah kehilangan ibu tercinta.
“Ada orang di luar sana tiada lagi ibu bapa, ada juga pelanggan yang berkata seandainya dia boleh membelikan sebuah kek untuk diberi kepada ibunya.
“Sebab itulah kami cuba menyampaikan mesej melalui produk kami supaya orang ramai menghargai ibu mereka, selagi masih ada,” jelasnya.
Sebagai seorang usahawan, Muhammad Fakharuddin mengakui bahawa musim perayaan seumpama ini memerlukan komitmen masa yang tinggi kerana ia merupakan waktu paling sibuk bagi perniagaanya.
Namun, dia tetap merancang untuk mencuri masa meraikan ibunya secara peribadi, selepas tempoh puncak dalam kalendar perniagaannya berakhir.
“Kepada semua ibu di luar sana, Selamat Hari Ibu dan teruslah usaha untuk menjadi ibu yang hebat.
Tidak lupa juga buat anak-anak, hargailah ibu anda sebaik mungkin,” pesannya mengakhiri temu bual bersama Shah Alam Times.
