45 views 3 mins 0 comments

Elemen Patriotisme Warnai Sukan Tahunan SK Taman Alam Megah

In Berita, Komuniti
May 15, 2026
Suasana ketika perarakan rumah-rumah sukan, diiringi oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

SHAH ALAM –  Acara sukan tahunan sekolah bukan sahaja menjadi benteng utama dalam melahirkan bakat murid-murid dalam bidang sukan, malah turut memupuk sikap disiplin, semangat kesukanan dan melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani dan rohani. 

Berdasarkan semangat itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah tampil membawa elemen berbeza dengan berganding bahu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Acara yang berlangsung pada Isnin itu telah dilaksanakan dengan jayanya oleh guru, persatuan ibu bapa dan para peserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah.

Pelbagai acara telah dipertandingkan bagi mengeratkan hubungan warga sekolah serta komuniti masyarakat setempat. 

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Zarina Ngahdimon, 46, ini kali pertama pihak sekolah mengadakan acara sukan tahunan di Stadium Matsushita, Seksyen 21, di sini, selain menjadi julung kali berkolaborasi dengan ATM. 

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Taman Alam Megah, Zarina Ngahdimon

“Objektif kolaborasi ini adalah untuk membuka minda murid mengenai peranan dan kepentingan unit beruniform dalam membentuk disiplin diri dan semangat cinta terhadap negara, walaupun ini kali pertama kami kolaborasi bersama ATM, saya bersyukur kerana ia dilaksanakan dengan lancar,” katanya kepada Shah Alam Times.

Ahli Jawatankuasa PIBG SK Taman Alam Megah, Roslinda Rosli

Manakala wakil dari pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Roslinda Rosli, 41, menjelaskan bahawa dengan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan seperti ATM dapat memberi pendedahan dunia pengorbanan ketenteraan kepada generasi muda di samping memupuk sikap disiplin dan kerjasama dalam kesukanan. 

Jelas Roslinda, PIBG berperanan sebagai penghubung dan penyelaras antara pihak sekolah dengan tetamu khas.

“Kerjasama ini dapat membantu pembangunan sahsiah diri murid terhadap perasaan cinta akan negara di samping penglibatan aktif untuk memenuhi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK),” jelasnya.

Sementara itu wakil ATM, Koperal Nasruddin Shahri, 33, memaklumkan bahawa idea ini disambut baik oleh ATM.

Menurut beliau, pasukannya mempersembahan perbarisan dengan menunjukkan kepakaran sebagai ahli pancaragam yang mengiring persembahan muzik serta formasi yang bertenaga dan berdisiplin. 

“Kolaborasi ini juga boleh mencerminkan bahawa pihak ATM ini bukan sahaja dilihat sebagai anggota pertahanan, malah dengan penglibatan ATM dengan acara ini dapat mencerminkan bahawa pihak ATM juga dekat kepada masyarakat,” ulasnya.

Secara keseluruhan, kolaborasi antara SK Taman Alam Megah dan ATM dianggap sebagai satu pencapaian yang cemerlang dalam memupuk semangat patriotisme, disiplin, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan murid selain diharap bahawa inisiatif ini masih dapat lagi diteruskan bagi melahirkan generasi akan datang yang berwawasan dan semangat nasionalisme.

Melissa Ibrahim
/ Published posts: 3

Busy collecting whispers in Shah Alam