38 views 3 mins 0 comments

Tang Jie – Ee Wei, Bonnie Raih Anugerah Atlet Terbaik di Anugerah SAM 2025

In Sukan
May 15, 2026
Chen Tang Jie (kiri), Toh Ee Wei (tengah) dan Bonnie Bunyau Gustin (kanan) pada majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2025

KUALA LUMPUR – Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2025 selepas mencipta sejarah sebagai pasangan pertama Malaysia bergelar juara dunia.

Beregu nombor empat dunia itu berjaya mengetepikan empat calon hebat iaitu ratu wushu negara Tan Cheong Min, atlet boling padang Emma Firyana Saroji, pemain tenpin boling Muhd Rafiq Ismail serta pesilat negara Mohd Abdul Latif Maxzakir.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Tang Jie–Ee Wei muncul sebagai beregu campuran pertama dan gandingan ketiga dari sukan badminton yang meraih anugerah berprestij itu selepas dua beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit – Yap Kim Hock yang memenanginya pada 1995 dan 1996, serta Koo Kean Kiat – Tan Boon Heong pada 2006.

Selain itu, beberapa pemain badminton negara lain yang pernah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik SAM-100 ialah Datin Wong Mew Choo pada 2007 dan Datuk Seri Lee Chong Wei pada 2008.

Ee Wei ketika ditemui meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diterima dan menyifatkan anugerah tersebut sebagai hasil sokongan pelbagai pihak.

“Kami sangat bersyukur dengan anugerah ini, terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan kepada kami.

“Kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya kepada Shah Alam Times.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada mereka pada masa hadapan.

Sementara itu, Chen Tang Jie menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai pembakar semangat untuk mereka terus meningkatkan prestasi menjelang kejohanan akan datang termasuk Malaysia Masters.

“Anugerah ini menjadi motivasi untuk kami terus melangkah ke hadapan dan mendapatkan keputusan yang lebih baik pada masa depan.

“Kami akan terus fokus dalam latihan untuk memberikan aksi terbaik, terutama apabila bermain di gelanggang sendiri,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik selepas muncul juara dunia buat kali keempat berturut-turut di Kejohanan Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah, Mesir.

Bonnie menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kejayaan pada masa akan datang.

“Anugerah ini memberi motivasi untuk saya terus berusaha dan memberikan yang terbaik selepas ini.

Untuk temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti, saya berharap dapat melakukan yang terbaik, meraih pingat emas serta mengekalkan carta nombor satu dunia, setakat ini rekod terbaik saya adalah 232 kilogram,” ujarnya.

Untuk rekod, ini merupakan kali keempat Bonnie menerima pengiktirafan berkenaan sekali gus menyamai pencapaian jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai antara penerima terbanyak anugerah tersebut.

Semua pemenang membawa pulang trofi serta wang tunai RM 10,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Kejayaan yang diraih Tang Jie – Ee Wei serta Bonnie Bunyau Gustin membuktikan atlet negara terus berada pada landasan terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. 

Pengiktirafan yang diterima menerusi Anugerah SAM 2025 diharap menjadi pembakar semangat buat semua atlet negara untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

Haziq Rosely
/ Published posts: 4

Minta maaf salah silap, saya juga insan biasa.