SHAH ALAM – Bunyi semburan cat aerosol memecah sunyi petang di sebuah lorong ketika seorang pemuda tekun menyiapkan lakaran pada dinding konkrit setinggi hampir dua meter.
Di sebalik dinding bangunan yang kelihatan lusuh, tersembunyi karya seni yang bukan sahaja mencuri perhatian, malah membawa mesej dan identiti tersendiri kepada masyarakat.
Bagi penggiat seni jalanan tempatan, Mohamad Hisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Cham, mural bukan sekadar lukisan di ruang awam, tetapi medium komunikasi visual yang mampu menyampaikan emosi, budaya dan cerita kepada orang sekeliling.
Anak yang dibesarkan di Shah Alam berusia 33 tahun itu mula meminati seni sejak kecil sebelum memilih aliran seni dan melanjutkan pengajian dalam bidang Reka Bentuk Grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
Selepas tamat pengajian, beliau menjalani latihan industri di sebuah syarikat pengiklanan sebelum dipanggil semula untuk bekerja di syarikat sama.
Namun, pandemik COVID-19 menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya apabila beliau mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan tetap.
“Waktu tu saya baru berhenti kerja lebih kurang sebulan, lepas itu COVID-19 berlaku.
“Jadi saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerja bebas untuk teruskan pendapatan,” katanya kepada Shah Alam Times.
Menurutnya, pengalaman tersebut membuka ruang baharu apabila beliau mula membina hubungan dengan komuniti streetwear dan seni jalanan, sekali gus mengembangkan portfolio seninya.
Menggunakan nama “Chamology” sebagai identiti seni, Cham menjelaskan nama itu merupakan gabungan nama panggilannya, “Cham”, dan perkataan ideology kerana setiap karya yang dihasilkanmembawa mesej serta cerita tersendiri.
“Di sebalik apa yang saya buat, mesti ada cerita atau maksud yang saya cuba sampaikan,” ujarnya.
Kini, Chamology bukan sahaja dikenali dalam dunia mural dan seni jalanan tempatan, malah pernah bekerjasama dengan jenama seperti F&N, BYD dan Nestlé.
Beliau juga pernah dijemput oleh RTM untuk mengendalikan bengkel seni secara dalam talian selain aktif menghasilkan karya komersial di bawah jenama Chamology.
Perjalanan Muhammad Hisham dalam dunia seni jalanan bermula secara sederhana menerusi mural pertamanya di sebuah skatepark di Shah Alam yang kini sudah tiada.
“Masa itu saya buat sahaja tanpa dibayar. Tengah lepak, tiba-tiba datang idea dan terus hasilkan mural dekat situ,” katanya sambil mengimbau kenangan awal penglibatannya dalam seni grafiti.
Menurut Cham, inspirasi karyanya hadir daripada pelbagai perkara termasuk muzik, filem dan budaya pop.
“Ada masa saya tengah dengar lagu, tiba-tiba terfikir visual yang sesuai dengan lagu tu,” tambahnya.

Selain menghasilkan mural di beberapa lokasi sekitar Shah Alam, Cham turut aktif menyertai acara seni di luar negara.
Antara pencapaian terbesarnya ialah penyertaan dalam festival grafiti antarabangsa, Meeting of Styles China 2025, yang menghimpunkan penggiat seni jalanan dari pelbagai negara.
Terbaharu, beliau baru sahaja pulang dari Batam, Indonesia selepas menyertai sebuah acara seni dan dijadualkan mengambil bahagian acara live painting di Yogyakarta bulan ini.
Di sebalik pencapaian itu, anak bongsu daripada dua adik-beradik tersebut mengakui bidang seni mural bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya pada peringkat awal penglibatan.
“Dulu bila letak harga mahal sikit, orang tak nak ambil. Dalam bidang ni memang ada persaingan dan kita kena pandai cari jalan untuk bertahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui seni mural dan graffiti sering dikaitkan dengan vandalisme oleh segelintir masyarakat.
Namun, persepsi tersebut semakin berubah apabila masyarakat mula memahami mesej yang cuba disampaikan melalui karya seni jalanan.

“Kami biasanya pilih kawasan yang nampak lusuh atau kosong untuk dihidupkan semula dengan seni. Tapi kami tetap perlu minta izin pemilik bangunan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, masyarakat kini semakin terbuka menerima mural yang membawa mesej positif serta memberi nilai kepada sesuatu kawasan.
Bagi Cham, mural bukan sekadar karya untuk dilihat, tetapi ruang untuk masyarakat berfikir dan merasai sesuatu melalui visual yang dihasilkan.
Kini, selepas lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni jalanan, Cham berharap dapat terus konsisten serta mengembangkan jenama Chamology menerusi pelbagai produk sendiri pada masa akan datang.
Di sebalik warna-warna terang yang menghiasi dinding kota, karya seni seperti yang dihasilkan oleh Cham membuktikan bahawa mural bukan lagi sekadar contengan jalanan, tetapi bahasa visual yang mampu “bercakap” kepada masyarakat tanpa menggunakan kata-kata.
