SHAH ALAM – Pengusaha gerai makanan mengakui berdepan dengan cabaran besar untuk mengekalkan harga makanan susulan konflik geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Meskipun dihimpit lonjakan kos bahan mentah yang mendadak, rata-rata pengusaha gerai tetap bertahan dengan harga lama kerana takut kehilangan pelanggan.
Peniaga kecil, Ahmad Idros, 66, yang telah lebih 30 tahun berniaga di Medan Selera Seksyen 2 berkata, persaingan harga di kawasan gerai sangat sengit sehingga memaksa peniaga berfikir dua kali sebelum menaikkan harga.
“Pelanggan cepat lari kalau saya naikkan harga sebab saingan di sini sengit, jadi kalau harga sayur mahal, saya tak naikkan harga pun, cuma saya kurangkan sikit porsi dalam pinggan,” katanya.
Ahmad yang dahulunya menjual mi goreng pada harga RM4 kini terpaksa menjual pada harga RM6, namun angka itu masih rendah berbanding harga pasaran sekitar RM10.
“Hasil berniaga ini cukuplah untuk saya membayar pekerja, sewa premis dan membeli bahan mentah buat berniaga keesokan harinya,” katanya lagi.
Seorang lagi pengusaha di medan selera, Cik Sui, 49, menyifatkan situasi sekarang sebagai “main tarik tali” dengan pelanggan.
Dia mendedahkan peniaga kini bergelut dengan kenaikan pelbagai kos serentak, daripada bekas pembungkus plastik hinggalah ke bahan mentah.
“Ikan kembung sekarang RM20 lebih sekilo. Kalau nak jual murah, kami terpaksa guna stok sejuk beku.
“Malah dulu, pembungkus makanan yang boleh didapati dengan harga RM8.00, sekarang dijual dengan harga dua kali ganda,” katanya.
Namun begitu, dia mengaku sukar menaikkan harga makanan kerana pelanggan yang kerap mempersoalkan asbab kenaikan harga walaupun hanya RM1.
Bagi pengusaha gerai, Mohamad Saad Ismail, 65, pula keadaan ekonomi semasa turut memberi kesan kepada kestabilan perniagaannya.
“Saya turut terkesan dengan harga barang mentah yang melambung tinggi, walaupun stok diambil terus dari pemborong di Meru.
“Harga beras tengah melonjak tinggi menjadikan kos operasi semakin bertambah dan keuntungan semakin nipis,” ujarnya.
Mohamad Saad turut berkata harga sedia ada akan dikekalkan buat masa kini, namun mengakui terpaksa menaikkannya pada masa akan datang kelak susulan lonjakan harga bahan mentah yang tidak menentu.
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohamad Nasir menjelaskan bahawa harga bahan makanan masih berada di julat yang terkawal tetapi beberapa tanda peningkatan sudah mula kelihatan.
Katanya, bagi tempoh 4 hingga 6 Mei 2026, harga bahan makanan terpilih bergerak dalam julat antara penurunan 2.0 peratus hingga kenaikan 6.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Harga beberapa item mencatatkan kenaikan harga seperti ikan kembung meningkat sebanyak 3.9 peratus iaitu RM16.76 sekilogram, sawi meningkat kepada RM7.23 sekilogram, udang putih 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram, dan santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram,” jelasnya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global di Facebook kementerian tersebut.
