49 views 3 mins 0 comments

Filem ‘Michael’ Menyatukan Semua Generasi

In Berita, Komuniti
May 28, 2026
Para penonton yang mula bersorak sebelum filem ‘Michael’ ditayangkan

SHAH ALAM – Filem ‘Michael’ arahan Antoine Faqua berjaya mencetuskan fenomena luar biasa apabila sesi tayangan eksklusif yang menampilkan konsep menari dan menyanyi dibanjiri peminat legenda dunia itu, di Central i-City, baru-baru ini.

Selain Central i-City, beberapa cawangan lain pawagam ini antaranya di Suria KLCC, Gurney Paragon dan Vivacity Kuching turut mencatatkan jualan tiket habis dijual bagi filem tersebut.

Poster rasmi filem Michael

Filem biopik Raja Pop yang menarik perhatian orang ramai itu secara tidak langsung turut menyatukan pelbagai jenis generasi bermula dengan generasi X, milenial dan generasi Z, malah tidak terkecuali generasi Alpha.

Dari awal hingga ke penghujung tayangan, para penonton bukan sahaja bersorak, malah ramai telah “membuka pentas” dengan menari dan menyanyi bersama-sama.

Menurut Muhammad Akmal Akif Rozaiman, pekerja di pawagam itu, mereka tidak pernah menjangkakan penonton akan seramai ini.

Tambahnya, ramai juga yang hadir buat kali kedua bagi menghangatkan lagi suasana tayangan filem tersebut.

“Kelainan tayangan khas peminat ini adalah pengalaman hiburan yang lebih interaktif.

“Bagi saya, konsep seperti ini lebih sesuai bagi filem yang melibatkan elemen muzik dan nyanyian kerana ia menjadi platform terdekat buat peminat untuk seolah-olah merasai konsert Raja Pop, Michael Jackson,” katanya kepada Shah Alam Times.

Para penonton filem biopik ‘Michael’ di TGV Central i-City

Bagi salah seorang penonton, Nurul Azlina Mohd Ismail, 48, meluahkan perasaan teruja setelah mengetahui filem tersebut sudah berada dalam proses penerbitan sejak tiga atau empat tahun yang lepas.

Bagi Nurul Azlina atau lebih mesra dipanggil Lyna, sebagai peminat Michael Jackson daripada kecil, filem biopik ini berjaya mengembalikan semula nostalgia dan era dahulu.

“Saya sangat berpuas hati melihat semua penonton yang bergabung tidak mengenal usia dan ada juga antara peminat Raja Pop ini yang masih kecil, di mana mereka tidak pernah merasai era tersebut.

“Saya sangat bertuah apabila saya telah berpeluang menghadiri konsert beliau pada tahun 1996 di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemu bual.

Ruang mesej khas untuk peminat bagi menzahirkan rasa cinta terhadap legenda muzik dunia, Michael Jackson

Filem biopik yang cukup ikonik ini membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan perbezaan generasi.

Situasi ini seolah-olah digambarkan seperti dialog dalam babak filem tersebut yang menyentuh bahawa muzik dan tarian yang disifatkan sebagai bahasa sejagat, persis suasana yang meriah dan jalinan silaturahim sesama para peminat.

Pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman sinematik dari pihak TGV akan berlangsung seperti acara eksklusif dan tayang istimewa yang menawarkan pelbagai hiburan yang lebih interaktif.

Melissa Ibrahim
/ Published posts: 5

Busy collecting whispers in Shah Alam