35 views 3 mins 0 comments

Buku Fiksyen Lucah di Pasaran Cetus Kebimbangan Penulis Profesional

In Berita, Komuniti
June 09, 2026
Novel romantis sememangnya menjadi pilihan golongan muda, namun kandungan yang tidak elok terbuka kepada orang awam menjadi kebimbangan sejak dahulu lagi. (Gambar kecil: dari kiri, Marzuen, Alam dan Sofian)

SHAH ALAM  – Lambakan novel dan buku fiksyen berunsur lucah serta eksploitasi seksual di pasaran tempatan ketika ini dikesan semakin parah ekoran kewujudan platform e-dagang dan akses internet terbuka.

Sebahagian naskah tersebut didapati mengandungi plot penceritaan yang menormalisasikan gangguan seksual, hubungan toksik, dan aksi intim tanpa kiasan yang terlalu grafik, sekaligus tidak sesuai untuk bacaan umum. 

Editor Kanan Novel Karangkraf, Mazuen Yahaya, mendedahkan sebahagian besar kandungan tidak bermoral datang daripada karya swaterbit, terutamanya diadaptasi daripada platform buku atas talian. 

“Sebagai editor, kami memang tidak setuju dengan mereka yang swaterbit karya sendiri kerana kebanyakan kandungannya tidak ditapis dan banyak sangat pengaruh lucah melampau yang kami perhatikan,” katanya kepada Shah Alam Times. 

Jelasnya lagi, pihaknya sangat menitikberatkan kualiti penulisan, memandangkan karya tersebut akan kekal lama di pasaran umum, maka sesuatu karya mestilah berguna untuk masyarakat. 

“Selagi novel itu ada di pasaran, dosa menulis adegan yang tidak senonoh akan sentiasa mengalir. 

“Sebagai editor, kami tidak mahu terpalit dengan dengan dosa penulis, kami akan tapis adegan-adegan yang tidak perlu sebelum diterbitkan,” tegasnya.

Tambahnya, buku yang diterbitkan syarikat penerbitan berdaftar mempunyai sistem penapisan berperingkat yang ketat melibatkan editor penilaian, perolehan dan pengurusan bagi memastikan tiada kandungan negatif lucah melampau.

Golongan pencinta buku dan remaja terdedah kepada naskah picisan tanpa tapisan yang merosakkan moral – SAT

Bagi penulis buku kanak-kanak, Alam Anuar, keinginan penulis mendapatkan keuntungan berganda menjadi punca utama kandungan tidak bermoral diterbitkan.

“Segelinitir penulis mementingkan populariti murahan dan merasakan menulis adegan tidak senonoh dapat menarik ramai pengikut, sehinggakan mereka semakin berani menulis adegan intim tidak senonoh,” katanya. 

Dia juga melahirkan rasa bimbang dengan kejatuhan moral generasi muda kerana sikap tidak bertanggungjawab penulis swaterbit ini, menjadikan karyanya mudah didapati tanpa tapisan had umur. 

Ibu-bapa menjadi perisai dalam menyekat anak-anak daripada akses bahan bacaan lucah, tetapi kemunculan novel atas talian (e-book) mudah diakses menyukarkan usaha tersebut – SAT

Sementara itu, Editor Kanan Buku Karangkraf, Sofian Resali menyifatkan isu lambakan buku lucah ini sebagai kemelut lama tetapi semakin menjadi-jadi dengan kemunculan internet yang mudah diakses.

“Kewujudan platform dalam talian dan akses internet yang lebih terbuka menyebabkan bahan bacaan yang tidak elok ini mudah diperolehi. Jadi kita tidak boleh mengharapkan pihak ibu bapa sahaja kerana ia sudah tentu tidak sempurna,” katanya 

Beliau menggesa pemain industri pembukuan berganding bahu bertindak sebagai mata dan telinga masyarakat dengan melaporkan kewujudan naskhah picisan kepada pihak berkuasa demi menyelamatkan moral generasi muda.

Hana Shuhardi
/ Published posts: 3

“Kita tidak boleh pernah berhenti untuk berbicara kebenaran” – Mohammad Hatta.