56 views 2 mins 0 comments

LRT3 Beroperasi, Kurangkan Beban Kos Pengangkutan Penduduk

In Berita, Komuniti
June 29, 2026
Empat dari kiri: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika gimik perasmian LRT3 Laluan Shah Alam. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kanan)

KLANG – Pengguna LRT Laluan Shah Alam kini boleh menikmati perjalanan percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai sebagai inisiatif kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, Klang semalam. 

“Kalau kita dapat memberi tumpuan, jalan akan lebih baik, kesesakan dapat dikurangkan, kecekapan serta kepantasan pengangkutan awam dapat dipertingkatkan dan mudah-mudahan ia dapat mengurangkan kos,” kata Anwar.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan 20 stesen dari Johan Setia ke Bandar Utama, termasuk sambungan ke Laluan Kajang dan Laluan Kelana Jaya. 

Ia dijangka akan memanfaatkan dua juta penduduk sekitar jajaran itu.

Beliau turut menaiki tren dari Stesen Seri Andalas ke Depoh Johan Setia, sekaligus menjadi antara penumpang terawal yang mencuba laluan baharu tersebut (Foto: Facebook Anwar Ibrahim)

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pas perjalanan tanpa had My50 akan diperluaskan ke Laluan Shah Alam bermula 1 Ogos. 

Pengguna hanya perlu satu pas untuk menikmati perjalanan tanpa had di semua rangkaian Rapid Rail.

“Ini merupakan kemudahan yang cukup baik kepada pekerja dan pelajar yang berada di kawasan ini,” kata Loke yang turut hadir mengiringi Perdana Menteri pada majlis itu.

Tambah Loke, Kerajaan Negeri Selangor akan memperkenalkan insentif pengangkutan awam kepada pelajar di negeri itu sebagai usaha mengurangkan kos perjalanan harian.

“Kerajaan Negeri Selangor juga akan memperkenalkan insentif pengangkutan awam kepada pelajar di Selangor supaya mereka dapat menggunakan pengangkutan awam di seluruh Lembah Klang.

Bukan sahaja di Laluan Shah Alam tetapi melibatkan keseluruhan rangkaian, pada kadar yang lebih rendah,” ujarnya.

Kerajaan turut merancang untuk menambah lima stesen baharu iaitu Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik bagi memperluaskan liputan perkhidmatan pada masa hadapan.

LRT Laluan Shah Alam mampu mencapai kelajuan sehingga 80 kilometer sejam dan dilengkapi teknologi brek regeneratif, penyaman udara inverter, lampu LED serta sistem pencahayaan dalaman pintar.

Gerabak LRT Laluan Shah Alam dilengkapi kemudahan moden bagi menawarkan perjalanan yang lebih selesa dan efisien kepada pengguna.

Perkhidmatan ini beroperasi bermula 29 Jun, pada setiap hari dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, selain disokong oleh bas perantara dan van Rapid On-Demand bagi memudahkan perjalanan pengguna.

Arissa Khairul
/ Published posts: 3

Marilah kita merungkai kebenaran