39 views 4 mins 0 comments

Dunia Firdaus Yang ‘Istimewa’

In Keluarga, Rencana
June 29, 2026
Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berjaya menunaikan hasrat Firdaus yang ingin bertemu dengan polis.

Stigma tentang autisme masih lagi sering disalah tafsir, di mana masyarakat melabelkan kanak-kanak autisme ini sebagai seorang yang nakal hanya kerana meltdown yang mereka tidak dapat kawal.

Namun tidak bagi seorang ibu, Fatin Nabila Mohammad Amin yang mengungkapkan perjalanan membesarkan anak autisme itu sedikit sebanyak mengajarnya erti sabar dan syukur dalam kehidupan.

Anak sulungnya, Muhammad Firdaus Al Fattah, 8, seorang kanak-kanak autisme berfungsi tinggi (high functioning autism) mempunyai cara tersendiri dalam melihat dan berinteraksi dengan dunia tetapi semangat dan minatnya terhadap polis berjaya menyentuh ramai hati. 

Ujar Fatin Nabila, setiap kali terdengar bunyi siren atau terlihat kereta peronda di jalan raya, wajah anaknya yang mesra disapa Firdaus pasti berubah ceria.

“Sejak umur tiga tahun lagi, kalau nampak balai polis atau kereta polis, dia terus teruja. Sampai jerit ‘Po-lis! Po-lis!.” kata Fatin Nabila yang mengingati detik awal apabila Firdaus mula menunjukkan minat terhadap pasukan beruniform itu.

Walaupun Firdaus tidak suka bergambar, dia tersenyum riang ketika memakai pakaian seragam polis.

Namun di sebalik senyuman dan minat mendalam itu, tersimpan seribu satu perjalanan hidup yang tidak semua orang mampu lalui.

Ketika Firdaus disahkan autisme pada usia tiga tahun, dunia Fatin seakan-akan terhenti seketika.

“Masa mula dapat tahu, saya rasa takut, bersalah dan tak tahu nak mula dari mana. Antara cabaran terbesar bukanlah dari Firdaus sendiri, tetapi cara saya menerima hakikat dan berdepan dengan pandangan masyarakat,” luahnya.

Sebagai suri rumah sepenuh masa, Fatin Nabila menumpukan sepenuh perhatian terhadap penjagaan dan terapi Firdaus serta adiknya yang berusia 2 tahun di rumahnya. 

“Saya kena belajar dari kosong tentang speech delay dan isu sensori. Bila kita mula menerima dan belajar, Alhamdulillah, perlahan-lahan jalan itu terbuka,” katanya kepada Shah Alam Times.

Jelasnya lagi, Firdaus merupakan seorang anak yang lembut hati, penyayang dan sangat berdisiplin. Walaupun tidak banyak bercakap, dia menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan. 

Perkembangan komunikasi Firdaus pada awalnya hampir tidak bercakap dan tidak menoleh apabila dipanggil.

Kini, pada usia lapan tahun, dia sudah mampu memahami arahan serta mula berinteraksi dengan orang sekeliling.

Meskipun begitu, cabaran sosial masih wujud di mana sensitiviti terhadap bunyi yang kuat kadangkala menyebabkan Firdaus mengalami meltdown di tempat awam.

“Sebagai ibu, memang kadang tu terasa hati juga bila orang tengok lepas tu cakap kita tak reti jaga anak,” jelasnya lagi.

Tetapi bagi Fatin Nabila, masyarakat perlu memahami bahawa autisme bukanlah sesuatu kekurangan yang boleh dikawal.

Antara kenangan yang paling menyentuh hatinya apabila Firdaus berpeluang bertemu anggota polis baru-baru ini.

“Muka dia terus berseri-seri. Mata dia berair. Dia terus memberi tabik hormat walaupun tak pernah diajar. Bila polis hulur tangan, dia salam dan peluk erat macam dapat harta karun,” cerita Fatin Nabila dengan nada sebak.

Di sebalik segala cabaran, Fatin Nabila percaya setiap anak autisme hadir dengan keistimewaan sendiri.

“Autisme itu bukan titik noktah, tapi permulaan. Anak kita istimewa, bukan rosak. Raikan setiap kemajuan kecil mereka kerana setiap langkah itu membawa makna besar,” ujarnya sambil tersenyum.

Fatin menambah Firdaus bukan sahaja anak syurga, tetapi juga guru kehidupan yang mengajarnya erti kesabaran dan kasih sayang tanpa sempadan.

Syazwani Hasnan
/ Published posts: 4

Kebenaran bermula daripada keberanian untuk bertanya