40 views 6 mins 0 comments

Piala Dunia 2026 Berakhir, Apa Legasinya?

In Berita, Laporan Khas, Sukan
July 29, 2026
Pertandingan terbesar dalam sejarah ini menampilkan kehebatan gabungan jaguh dunia serta bakat generasi baharu seperti (dari kiri) Harry Kane (England), Kylian Mbappe (Perancis), Lamine Yamal (Sepanyol), Christian Pulisic (Amerika Syarikat) dan Vinicius Jr (Brazil)

SHAH ALAM – Piala Dunia FIFA 2026 telah melabuhkan tirainya pada 19 Julai lalu, menyaksikan Sepanyol menjulang trofi selepas menewaskan Argentina 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres pada minit ke-106 masa tambahan di Stadium New York New Jersey, Amerika Syarikat.

Namun, apabila sorakan 80,000 penonton beransur hilang, satu persoalan yang lebih besar wajar direnungkan: apakah sebenarnya legasi yang ditinggalkan kejohanan terbesar dalam sejarah ini selain rekod jumlah pasukan dan angka pendapatan?

Antara Sukan dan Tuntutan Komersial

Tidak dapat dinafikan, Piala Dunia 2026 merupakan edisi yang paling ketara memperlihatkan pengaruh komersial dalam sejarah kejohanan.

Dengan 104 perlawanan, FIFA memperoleh pendapatan lebih tinggi menerusi hak penyiaran, penajaan dan jualan tiket.

Perlawanan akhir juga menampilkan persembahan separuh masa berskala besar yang menghimpunkan Shakira, Madonna, BTS, Justin Bieber dan Burna Boy, dikurasi oleh Chris Martin daripada Coldplay, menerusi rehat yang dipanjangkan khas.

Pendekatan sebegini jelas dirangka untuk penonton televisyen dan penaja, dan mencetuskan perbincangan sama ada identiti Piala Dunia sebagai pesta bola sepak semakin bersaing dengan fungsinya sebagai produk hiburan global.

Menurut penyokong bola sepak tempatan, Shah Ikhwan, 23, pelbagai elemen yang diterapkan pada edisi kali ini jelas memperlihatkan usaha Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjana pendapatan yang lebih besar.

“Kita sebagai penyokong tahu FIFA sebenarnya mahu menjana lebih banyak keuntungan daripada Piala Dunia 2026. Contohnya, kalau kita tengok hydration break, pada pandangan saya ia bukan sekadar untuk pemain berehat, tetapi juga membuka ruang kepada penaja untuk memaparkan iklan,” katanya.

Format 48 Pasukan: Peluang Yang Masih Terbatas

FIFA menjanjikan format 48 pasukan akan memperluaskan peluang kepada negara membangun, dan sebahagian janji itu ditunaikan.

Afrika Selatan mara ke peringkat kalah mati buat pertama kali sebelum ditewaskan Kanada, manakala Cape Verde memberi tentangan hebat sebelum tunduk kepada Argentina.

Detik bersejarah sebegini wajar diraikan dan dijangka menjadi pemangkin pembangunan bola sepak di negara terbabit.

Bekas pemain UiTM United, Asyraf Amran, 23, sejak awal menyifatkan format baharu itu sebagai perubahan positif kerana memberi peluang kepada lebih banyak negara beraksi di pentas dunia.

“Saya dapat menikmati lebih banyak aksi dan peluang menyaksikan pasukan kegemaran saya beraksi dalam tempoh kejohanan yang lebih panjang,” katanya.

Pandangan itu dikongsi Muhammad Faiz Yaakob, 22, yang percaya format 48 pasukan menjadikan kejohanan lebih menarik.

“Saya rasa format 48 pasukan adalah sesuatu yang positif kerana kita dapat melihat lebih banyak negara beraksi di Piala Dunia. Mungkin akan ada pasukan yang tidak dikenali mampu mencipta kejutan seperti Maghribi pada edisi 2022,” katanya.

Namun, keputusan akhir turut menawarkan perspektif yang lebih realistik. Empat pasukan terakhir kejohanan ialah Sepanyol, Argentina, England dan Perancis, kesemuanya kuasa tradisional bola sepak dunia.

Format boleh berubah dan jumlah pasukan boleh bertambah, tetapi hierarki sedia ada masih kekal utuh.

Persoalan yang wajar diteliti FIFA ialah sejauh mana pertambahan slot benar-benar merapatkan jurang persaingan, dan bukan sekadar menambah bilangan perlawanan di peringkat kumpulan.

Kebajikan Pemain Menjadi Perhatian

Kebimbangan persatuan pemain antarabangsa FIFPRO sebelum kejohanan mengenai beban perlawanan kini terbukti wajar diberi perhatian serius.

Laluan ke final menuntut lapan perlawanan dalam tempoh sebulan, dilalui pemain yang baru menamatkan musim kelab yang padat, ditambah pula perjalanan merentasi tiga negara dan cuaca panas musim panas Amerika Utara.

Menurut pemain profesional Selangor FC, Muhammad Abu Khalil, 21, jadual perlawanan yang padat sebegini mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan dan keletihan melampau.

“Lebih banyak perlawanan memang menyeronokkan untuk ditonton, tetapi saya bimbang pemain akan terlalu penat. Kalau ramai pemain utama cedera, kualiti permainan juga akan terjejas,” ujarnya.

Kebimbangan itu sedikit sebanyak tergambar pada perlawanan akhir apabila Argentina, juara bertahan yang berpengalaman, hanya mampu melepaskan dua percubaan sepanjang 120 minit tanpa satu pun tepat ke sasaran.

Pencapaian Yang Wajar Diiktiraf

Dalam menilai kekurangan kejohanan, pencapaian di atas padang tetap wajar diberi pengiktirafan sewajarnya.

Sepanyol hanya membolosi satu gol sepanjang kejohanan dan menjulang trofi buat kali kedua selepas 2010, sekali gus menjadi negara pertama memegang gelaran Piala Dunia lelaki dan wanita secara serentak.

Kemunculan bakat muda seperti Lamine Yamal menandakan peralihan generasi baru untuk sukan ini.

England pula mencatat pencapaian terbaik sejak 1966 apabila menewaskan Perancis 6-4 dalam penentuan tempat ketiga menerusi hatrik Bukayo Saka.

Ramalan penyokong Muhammad Norshahrul Nizam Mohd Rosli, 22, bahawa format baharu menjadikan kejohanan lebih sukar diramal turut sebahagiannya menjadi kenyataan.

“Sekarang lebih banyak pasukan ada peluang untuk mara ke pusingan kalah mati. Saya rasa kejutan akan lebih kerap berlaku dan itu menjadikan setiap perlawanan lebih penting,” katanya sebelum kejohanan bermula.

Kejutan tersebut memang berlaku di peringkat kalah mati, walaupun tidak sampai menembusi peringkat separuh akhir.

Secara keseluruhannya, Piala Dunia 2026 membuktikan kejohanan boleh berkembang lebih besar dari segi saiz, penyertaan dan nilai komersial.

Sekali gus membuka pintu kepada lebih banyak negara merasai pentas tertinggi.

Pada masa sama, ia turut mendedahkan cabaran keseimbangan antara kepentingan komersial dan integriti sukan, jurang kualiti yang masih ketara, serta kebajikan pemain.

Menjelang edisi 2030 di Sepanyol, Portugal dan Maghribi, FIFA berdepan tanggungjawab untuk memastikan pembesaran kejohanan tidak mengorbankan nilai teras sukan itu sendiri.

Piala Dunia 2026 telah membuktikan kejohanan ini mampu menjadi lebih besar dan tugas seterusnya ialah memastikan ia turut menjadi lebih baik.

INFOGRAFIK: Piala Dunia 2026 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Sepanyol mengalahkan Argentina, sekali gus menjuarai pertandingan yang dianjurkan empat tahun sekali ini – Shah Alam Times

, , , , , ,
Alyaa Mohamed
/ Published posts: 4

write the truths the world tries to bury