SHAH ALAM – Konsert sering dianggap tempat untuk melepaskan tekanan dan untuk berhibur semata-mata, namun realitinya hari ini konsert adalah ruang sosial untuk menjalinkan hubungan melalui pelbagai aktiviti yang digerakkan sendiri, antaranya oleh para peminat konsert.
Perilaku pemberian hadiah percuma atau freebies pada peminat lain mencerminkan bagaimana seseorang individu mampu berkembang dan membentuk satu budaya komuniti yang luas, melalui sebuah hobi.

Bagi peminat, Aina Afrina, 28 yang merupakan individu yang aktif dalam penyediaan freebies berkongsi bahawa proses itu tidak terlalu rumit kerana kebanyakan kandungan freebies telah ditempah lebih awal dan hanya melalui proses pembungkusan.
“Proses pembungkusan tak lama pun, dalam sehari sahaja.
“Biasanya untuk sesebuah konsert, kami sediakan sekitar 60 unit freebies,” katanya kepada Shah Alam Times.
Katanya, kos keseluruhan bagi menyediakan freebies dianggarkan sekitar RM 90 hingga RM 200, bergantung pada jenis barangan yang ditempah.
Walaupun kos tersebut ditampung sendiri, Aina berkata tujuan utama bukanlah keuntungan, tetapi lebih kepada perkongsian suasana dan kegembiraan bersama pengunjung lain.

Tambahnya lagi, budaya pemberian freebies bukan sekadar berkongsi cenderamata, malah menjadi cara untuk memulakan perkenalan dengan peminat lain.
“Bila kita bagi freebies, kita akan kenal (dengan ramai) orang lain.
“Bukan sekadar masa tu saja, tapi boleh jadi kawan selepas itu,” jelasnya.
Dia turut menyatakan bahawa penglibatan dalam aktiviti ini bukanlah pengalaman pertama, sebaliknya hobinya ini telah dilakukan dalam beberapa acara sebelum ini.
Pada penghujung konsert, apa yang dibawa pulang bukan sekadar hadiah atau gambar kenangan, tetapi juga jalinan persahabatan baharu dan pengalaman bermakna yang mengeratkan hubungan, terutamanya sesama peminat.
Dalam era dunia konsert moden, budaya atau hobi ini membuktikan bahawa minat yang sama mampu menyatukan orang yang sebelum ini tidak pernah saling mengenali.
