39 views 4 mins 0 comments

UiTM Cipta Sejarah: 5 bekas profesor dianugerah gelaran Emeritus dalam satu konvokesyen

In Berita, Kampus
October 27, 2026
Penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada lima tokoh akademik UiTM membuktikan jasa dan sumbangan penting mereka kepada masyarakat dan negara.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada lima bekas ahli akademik yang pernah berkhidmat dengan universiti tersebut dalam satu majlis konvokesyen.

Lima tokoh tersebut ialah Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Dato’ Dr. Rahmat Mohamad, Ir. Dr. Hj. Abdul Rahman Omar, Dr. Hazman Shah Vijayan Abdullah, dan Dr. Habibah Ashari.

Penganugerahan tersebut mengambil kira sumbangan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing serta kepada pembangunan negara. 

Dr. Roziah merupakan mantan Naib Canselor wanita pertama UiTM dan memainkan peranan penting semasa transformasi awal universiti tersebut yang sebelumnya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM).

Selain itu, pakar bidang matematik dan statistik yang berkhidmat lebih 30 tahun itu merupakan arkitek penting yang menerajui visi untuk menjadikan UiTM sebagai universiti terkenal di peringkat antarabangsa dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.

Manakala, Dr. Rahmat pula merupakan antara pakar undang-undang antarabangsa yang pernah mengetuai pasukan peguam Yayasan MyAQSA dalam usaha mendapatkan status rakan mahkamah ICC berkaitan isu Palestin pada 2019.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada tahun 2022.

Di bawah kepimpinannya, SUHAKAM menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang lahir di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia.

Bagi Ir. Dr. Abdul Rahman pula, hubungannya dengan universiti ini bermula sebagai pelajar Advanced Diploma in Mechanical Engineering yang pada ketika itu dikenali sebagai ITM. 

Mantan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Jaringan Industri itu bertanggungjawab menyelia pembangunan 11 kampus cawangan, empat kolej kediaman, sebuah pusat latihan dan Hospital UiTM melalui skim Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), sekali gus membantu meningkatkan kapasiti pelajar UiTM daripada sekitar 100,000 kepada hampir 200,000 orang.

Beliau turut menjalinkan kerjasama penyelidikan UiTM dengan Fraunhofer Institute dan TU Chemnitz di Jerman, serta menerima Best of the Best Award daripada Asian Council on Ergonomics and Design pada 2017.

Sementara itu, Dr. Hazman Shah Vijayan memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di ITM Arau pada 1981 dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Naib Canselor (Jaminan Kualiti) dari tahun 2010 hingga 2015.

Antara sumbangan penting beliau adalah mempengerusikan panel kebangsaan yang menyelaraskan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dengan Kerangka Rujukan Kelayakan ASEAN (AQRF) pada 2018, langkah yang membolehkan kelayakan pengajian Malaysia dibandingkan dengan negara ASEAN lain.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), serta menjadi penasihat jaminan kualiti di 10 negara termasuk Indonesia, Vietnam dan New Zealand.

Akhir sekali, Dr. Habibah Ashari pula memulakan kerjayanya di ITM pada 1979 sebagai pensyarah bahasa Inggeris, sebelum dilantik sebagai Ketua Program pertama Ijazah Sarjana Muda pendidikan Teaching of English as a Second Language (TESL) bagi memenuhi keperluan negara terhadap guru bahasa Inggeris bertauliah. 

Beliau juga mencipta sejarah sebagai profesor UiTM pertama dan wanita kedua yang dilantik sebagai Pemegang Kerusi Tun Abdul Razak dalam Pengajian Asia Tenggara di Ohio University, Amerika Syarikat, dari 2011 hingga 2014.

Selepas bersara, beliau menerajui Yayasan Arshad Ayub sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari 2023 hingga 2026, yang menyediakan biasiswa dan bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan.

Untuk rekod, Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105 melibatkan 33 sidang bagi graduan dari 11 cawangan UiTM di semenanjung Malaysia, manakala graduan UiTM cawangan Sarawak diraikan pada 1 hingga 3 Disember dan UiTM Cawangan Sabah pada 15 hingga 16 Disember. 

Secara keseluruhan, 32,620 graduan pelbagai peringkat pengajian menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut.

Zeidan Naqeeb
/ Published posts: 1

Searching for truth is an obligation for everyone, not just journalists.