SHAH ALAM – Jenama kedai kopi, Amber Coffee menyasarkan pembukaan cawangan di setiap kampus cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi model perniagaan yang lebih mampan kepada komuniti pelajar.
Pengasasnya, Amirul Anas, berkata misi itu dirangka selaras dengan strategi ‘1 UiTM 1 Amber’ yang dijangka dapat mengukuhkan lagi perniagaan syarikat pada masa akan datang.
“Melalui strategi ini, kami merancang untuk memiliki cawangan di setiap UiTM dengan model perniagaan yang lebih mampan kepada komuniti pelajar.
“Pemilihan premis perniagaan dalam universiti membolehkan syarikat beroperasi pada kadar sewa yang lebih rendah dan menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan,” katanya kepada Shah Alam Times.
Ketika ini, jenama tersebut memiliki 5 cawangan, iaitu di kampus UiTM Tapah, dua cawangan di UiTM Shah Alam, UiTM Puncak Alam, dan sebuah cawangan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
Selain kafe, syarikat tersebut turut menubuhkan akademi barista, AMBR Academy pada tahun ini bagi melatih lebih ramai usahawan kopi dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.
Tambah Amirul lagi, Amber Coffee juga merancang membuka kedai di luar kampus sebaik sahaja mendapat rakan usaha sama dalam perniagaan tersebut pada tahun hadapan.
Jelasnya, langkah tersebut sebagai memenuhi permintaan pelanggan jenama kopi tersebut yang berada di luar kampus, selain dapat mengimbangi pendapatan perniagaan yang ketika ini bergantung kepada pelajar.
“Kira-kira 95 peratus pelanggan Amber Coffee terdiri daripada pelajar dan hanya lima peratus kakitangan universiti.
“Hal ini menyebabkan prestasi jualan kurang memberangsangkan kerana kuasa membeli pelajar adalah rendah terutamanya semasa cuti semester.
“Justeru, pembukaan premis di luar akan dapat mengimbangi jualan dan pendapatan syarikat dalam tempoh tersebut,” ujarnya
Usahawan yang berminat menjadi rakan francais Amber Coffee perlu menyediakan modal permulaan serendah RM10,000 untuk memulakan operasi.
Untuk rekod, jenama kafe tempatan tersebut telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026, baru-baru ini.
