SHAH ALAM – “Saya berasa kecewa dan terduduk apabila mengetahui saya dibuang kerja. Namun, Allah datangkan rezeki lain kepada saya iaitu dengan meniaga kuih tradisional Melayu.”
Demikian luahan Nurbalqis Elaine Abdullah, 35, pemilik Kedai Kopi Warung Tradisi, ketika mengimbas kembali detik awal pembabitan beliau dalam perniagaan kuih tradisional.
Baginya, menjual kuih bukan sekadar usaha mencari rezeki, sebaliknya menjadi perjalanan yang mengubah perspektifnya terhadap warisan budaya masyarakat Melayu.

Sebagai seorang wanita Muslim berketurunan Cina yang memeluk Islam pada 2009, beliau mengakui bahawa pendedahannya terhadap kuih Melayu sebelum ini agak terhad.
Namun, pengalaman menguruskan perniagaan kuih telah membuka matanya terhadap nilai yang terkandung di sebalik setiap hidangan tradisional.
“Saya tak ada harta mewah untuk diwariskan kepada anak saya kecuali ilmu perniagaan kuih, dan itulah yang saya harap dapat tinggalkan untuk mereka,” titipnya yang berhasrat mempertahankan keaslian kuih tradisional Melayu agar warisan itu tidak hilang ditelan zaman.
Hampir Mengalah
Segalanya bermula ketika pandemik COVID-19 melanda dunia dan beliau bersama suaminya, Prihady Zainuddin, 41, kehilangan pekerjaan.
Pada mulanya, perniagaan itu hanya menjadi ikhtiar untuk meneruskan kehidupan, namun tanpa disedari, usaha tersebut membuka ruang kepada mereka untuk mengenali dan mengangkat warisan kuih tradisional Melayu.
Namun, perjalanan pasangan itu bukanlah semudah yang disangka. Pada peringkat awal perniagaan, Nurbalqis Elaine dan suaminya berniaga di bawah khemah kecil di tepi jalan di Seksyen 7, Shah Alam.

“Enam bulan pertama sangat mengecewakan. Suasana lengang dan jualan merosot sebab ramai orang yang tidak keluar rumah. Waktu tu memang kami rasa nak give up,” katanya mengenang semula pengalaman memulakan perniagaan pada 2021.
Walaupun berdepan ketidaktentuan, pasangan itu memilih untuk terus bertahan. Sokongan rakan, jiran dan pelanggan, selain promosi melalui media sosial serta perkongsian dari mulut ke mulut, membantu perniagaan mereka berkembang sedikit demi sedikit.
Daripada sebuah usaha kecil untuk menyara kehidupan, perniagaan itu akhirnya berkembang sehingga mereka mempunyai dua buah lori dan membuka kedai fizikal kira-kira dua tahun lalu.
Bagi mereka, perkembangan tersebut bukan sekadar tanda kemajuan perniagaan, malah bukti bahawa usaha yang hampir terhenti pada awalnya masih mempunyai ruang untuk diteruskan.

Penglibatannya dalam dunia kuih tradisional bukan sahaja mengajarnya tentang selok-belok perniagaan, tetapi turut mendekatkannya dengan warisan makanan masyarakat Melayu.
“Oleh kerana saya dibesarkan dalam keluarga Cina, pendedahan terhadap kuih Melayu sangat kurang.
“Tapi pengetahun terhadap makanan tersebut mula meningkat apabila berkahwin dengan suami. Malah, saya juga banyak belajar ilmu kuih Melayu daripada ibu mertua,” jelasnya lagi.
“Masyarakat kita tidak sepatutnya meminggir dan mengubah keaslian kuih tradisi sedia ada ini, kerana lama-kelamaan kuih ini akan hilangnya identiti tersendiri.” ujarnya.
Cabaran tenaga kerja dan peningkatan kos bahan mentah turut menjadi antara perkara yang perlu diuruskan. Setiap kuih perlu dijaga kualitinya supaya pelanggan mendapat hidangan yang segar dan menepati jangkaan.
Bagi pemilik perniagaan itu, menjaga kualiti bukan sekadar memastikan pelanggan berpuas hati, malah sebahagian daripada tanggungjawab mereka terhadap makanan yang dijual.
Prinsip Perniagaan

Bagi usahawan itu, mengekalkan kuih tradisional bukan tanggungjawab satu kelompok masyarakat semata-mata. Sebaliknya, warisan budaya wajar dihargai dan dipelihara tanpa mengira latar belakang seseorang.
“Walaupun saya bukan berasal daripada latar belakang Melayu, tapi saya percaya setiap warisan budaya itu perlu dihargai dan dipelihara, tidak kira apa pun latar belakang kita,” katanya.
Prinsip untuk mengekalkan identiti kuih tradisional turut mempengaruhi keputusan pasangan itu dalam menguruskan perniagaan.
Meskipun makanan tular sering menarik perhatian pelanggan, mereka tidak menjadikan trend semasa sebagai tumpuan utama. Sebaliknya, mereka memilih untuk terus menawarkan kuih tradisional yang menjadi asas kepada perniagaan tersebut.
“Pernah ada orang cadangkan pada kami untuk jual makanan lain, tapi kami tolak sebab makanan viral ni tak akan bertahan lama,” katanya.
Kini, kedai itu menawarkan hampir 50 jenis kuih, bergantung pada hari dan bekalan daripada pembekal. Antara kuih yang disediakan sendiri termasuk seri muka, talam suji, talam gula merah dan kole kacang.

Bagi memastikan pilihan pelanggan lebih pelbagai, pemilik kedai itu turut mengelakkan daripada mengambil kuih yang sama daripada beberapa pembekal. Langkah tersebut membolehkan lebih banyak jenis kuih ditawarkan kepada pelanggan.
Selain kuih tradisional, kedai berkenaan turut menyediakan hidangan seperti mi kari, mi wantan, kuey teow th’ng, nasi lemak dan roti bakar.
Dengan kepelbagaian makanan yang ditawarkan, itu tidak menjadi faktor utama mereka untuk mereka mengetepikan kuih tradisional.
“Kuih yang tidak habis dijual, kami tidak akan jual pada hari lain sebab kami ingin menjaga dari segi kualiti dan kesegaran untuk terus terjaga.” titipnya.
Perancangan Masa Depan

Usaha yang dilakukan setiap hari bukan hanya untuk memastikan perniagaan terus berjalan, tetapi juga untuk membina sesuatu yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang, khusus kepada anaknya.
“Sekarang saya baru ada satu kedai di Seksyen U12. Saya berharap pada masa akan datang dapat membuka cawangan baharu kerana di Shah Alam tak ramai orang yang menjual kuih tradisional Melayu,”
Nilai sebenar perniagaan yang dibina bukan hanya terletak pada jumlah jualan atau perkembangan kedai. Lebih daripada itu, beliau mahu kuih tradisional Melayu terus dikenali dan tidak dilupakan, termasuk oleh generasi muda.
“Kalau boleh generasi muda jangan lupa asal kita, sebab kuih-muih ni identiti masyarakat orang Melayu sendiri. Semoga sentiasa kekal ada,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai orang mengenali kuih tradisional bukan sekadar sebagai makanan, tetapi sebagai sebahagian daripada identiti budaya yang mempunyai sejarah dan nilai tersendiri.
“Warisan memerlukan insan yang sanggup mengenalinya, menjaganya dan terus memperjuangkannya agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya mengakhiri perbualan.
